Friday, September 30, 2022

Tania Bugo, kisah di sebalik ratu renang bolot 13 emas SUKMA III

Secara Rawak

“Saya tidak menduga mampu memperolehi kecemerlangan pada SUKMA III. Yang ada pada minda saya waktu itu hanyalah kemenangan. Menang untuk kebanggaan negeri Sarawak dan saya menguak kolam renang dengan ikhlas hati,” kata Tania Bugo.

SUKMA XVIII yang sedang berlangsung di Bumi Kenyalang jelas mempunyai auranya sendiri.

tqwwBegitu juga Tania, yang pernah menjadi ratu di setiap hati rakyat Sarawak pada tahun 1990.

Tempoh 26 tahun begitu lama berlalu, tetapi rakyat Sarawak, ia bagaikan sekelip mata menyaksikan si gadis cantik ini menjulang nama Sarawak di kolam renang.

Menggondol 13 pingat emas dan mencipta 12 rekod baru sukan renang Sukma III, Tania pada waktu itu dilihat sebagai satu-satunya atlet yang mampu menggantikan Nurul Huda Abdullah, legenda kolam renang Asia Tenggara, juga dalam tempoh yang sama.

Tania Hamid Bugo atau lebih dikenali sebagai Tania Bugo lahir pada 10 November 1975.

Tania, yang merupakan puteri sulung pasangan Tan Sri Hamid Bugo dan Puan Sri Judith Elizabeth hanya berusia 14 tahun sewaktu menjulang trofi atlet wanita terbaik SUKMA III pada tahun 1990.

Ketika itu beliau layak menyertai 13 acara renang sekali gus.

“Dan saya menyertai dan berenang dengan kekhlasan hati sambil melaksanakan strategi untuk m lawan seperti yang ditunjuk ajar oleh jurulatih saya semasa sesi latihan,” imbaunya.

tqqw

Kata Tiana, waktu itu amat sukar baginya kerana terpaksa menjalani rejim latihan yang padat.

“Pada waktu itu tiada kemudahan dan peralatan renang seperti sekarang. Kami berlatih di kolam renang awam milik Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di Jalan Padungan.

Katanya, pada waktu itu, tidak ada kemudahan gimnasium, nasihat pakar pemakanan ataupun amalan makanan kesihatan.

“Tetapi saya tahu kekuatan dan kelemahan lawan dalam pertandingan. Waktu itu, tidak ada insentif untuk atlet-atlet SUKMA.

“Kami melakukannya dengan semangat untuk menang dan untuk memberi kebanggaan kepada negeri,” katanya yang seakan tidak menyangka mampu cemerlang dan menyapu bersih 13 acara yang disertainya.

Menurut Tania, sumber inspirasinya ketika itu ialah ibunya, Judith Elizabeth yang berasal dari New Zealand dan jurulatihnya, Victor Tan.

“Ibu banyak memainkan peranan membentuk saya menjadi seorang juara tanpa saya sedari,” kata Tania yang pernah suatu ketika menangis kerana terpaksa bangun seawal jam 4 pagi untuk sesi latihan.

Jadual latihan yang mengambil masa selama empat jam setiap hari amat memeritkan.

“Namun ibu tetap pastikan saya mengambil diet yang seimbang untuk tenaga selain memastikan saya tidak terlalu letih bermain dengan rakan-rakan dan tidur yang mencukupi.

tqq

Tambah Tania, ibunya sentiasa memberi dorongan dan akan berada di sampingnya setiap kali enyertai kejohanan di dalam mahupun di luar negara.

Selain ibu, jurulatihnya, Victor Tan turut menjadi tulang belakang kejayaannya.

“Victor kini merupakan jurulatih kebangsaan Brunei.

“Victor telah menjadi jurulatih saya sejak saya berusia 5 tahun dan merupakan antara penyumbang terbesar yang membolehkan saya meraih anugerah atlet wanita terbaik SUKMA III” katanya.

Victor kata Tania, turut membimbingnya menguasai kemahiran tentang keselamatan di dalam air.

“Sebelum SUKMA III, saya telah menyertai beberapa kejohanan bertaraf antarabangsa seperti Kejohanan Peringkat Umur ASEAN dan pencapaian terbaik saya adalah pada tahun 1985, ketika berusia 9 tahun, dan telah bergelar juara dalam acara 50 meter gaya kupu-kupu.

Pemilihan Tania untuk menyertai skuad SUKMA 1990 adalah atas tiket Persatuan Renang Amatur Kuching (KASA) dan beliau sendiri tidak menyangka akan terpilih kerana usia yang begitu muda.

Beliau hanya tahu bahawa beliau amat meminati sukan renang, sehinggalah jurulatih memaklumkan bahawa beliau berjaya melepasi masa kelayakan untuk bertanding dalam SUKMA 1990.

Selepas SUKMA 1990, Tania bersara daripada sukan renang untuk memberi fokus kepada bidang akademik.

Selepas SPM, bekas pelajar SMB St. Teresa itu meneruskan pelajaran ke peringkat ijazah Sarjana Muda dalam bidang ekonomi di New Zealand.

Pada tahun 1999, beliau kembali ke Malaysia dan menubuhkan Tadika Sri Keria sehingga pada tahun 2009 beliau memutuskan untuk menyambung semula pelajaran ke peringkat sarjana dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di Singapura.

Tania melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihan, Nicholas Law pada tahun 2004 dan dikurniakan dua cahaya mata yang kini berusia 9 dan 5 tahun.

Mengenai skuad renang Sarawak untuk SUKMA XVIII, beliau berkata: “Saya berharap semua atlet renang menumpukan sepenuh perhatian dan lakukan sebaik mungkin seperti mana sesi latihan.

“Kerjasama dalam satu pasukan adalah kunci kejayaan kerana tanpa kerjasama yang baik dan jitu di antara perenang, ibu bapa serta jurulatih maka tidak akan ada kejayaan,” katanya lagi. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru