Tuesday, June 28, 2022

Rakan subahat perompak berparang di Padungan ditahan di Tabuan Melayu

Secara Rawak

KUCHING: Polis Kuching berjaya menahan rakan subahat kepada seorang lelaki berusia 28 tahun yang merompak seorang wanita dengan menggunakan parang di kawasan Kwong Lee Bank, Padungan pada Sabtu.

Menurut Ketua Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisoner Dev Kumar, lelaki terbabit yang berusia 33 tahun, ditangkap di rumahnya di Tabuan Melayu oleh pasukan petugas khas rompakan daripada D9 sekitar jam 2.40 petang semalam.

“Polis berjaya merampas senjata parang yang digunakan ketika rompakan selain tas tangan mangsa dan dokumen peribadi miliknya.

“Saya merakamkan penghargaan kepada pasukan petugas khas ini kerana berjaya menahan suspek dan menyelesaikan kes ini pada hari yang sama,” katanya.

Terdahulu pada Sabtu lalu, polis Kuching berjaya menahan seorang lelaki, kurang dua jam selepas dia merompak mangsa sekitar jam 7.07 pagi.

Ketika kejadian, wanita tersebut didatangi perompak terbabit sewaktu berada di kaki lima premis bank, sambil mengancam untuk menetaknya.

Takut akan ancaman tersebut, wanita terbabit melepaskan telefon bimbit dan beg tangannya, yang kemudian dilarikan lelaki terbabit, bersama-sama rakannya yang menunggang sebuah motosikal.

Pihak polis bagaimanapun segera memperoleh butiran mengenai perompak ini melalui rakaman litar tertutup (cctv) yang merakamkan insiden tersebut.

Mangsa yang berusia 23 tahun, kemudian membuat laporan sekitar jam lapan pagi, sebelum sepasukan polis bertindak menjejak suspek.

Hasil jejakan, suspek pertama berjaya dicekup di Bandar Baru MJC Batu Kawa ketika sedang menunggang motosikal.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata. – Sarawakvoice.com

rer rereer rrer

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru