Monday, June 27, 2022

Anggota tentera gurau ancam letupkan pesawat dibebaskan, dinasihat tidak ulangi perlakuan

Secara Rawak

KUCHING: Seorang anggota tentera berusia 26 tahun sempat “disekolahkan” sejurus dibebaskan daripada tuduhan melakukan ancaman yang mendatangkan ketakutan kepada orang ramai.

Anggota berpangkat lans koperal tersebut, yang memakai seragam lokap berwarna ungu, dinasihatkan agar tidak mengulangi “gurauan melampau” yang boleh memakan diri atau akan berhadapan tindakan tegas selepas ini.

lokap

Permohonan pembebasannya dilakukan oleh pegawai pendakwa Inspektor Eric Tan Kean Hee di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi, sebelum diserahkan kepada pegawai tentera yang menunggu di luar kamar mahkamah untuk tindakan susulan.

Turut hadir ialah ibu dan adik kepada anggota tentera terbabit.

Terdahulu pada Khamis, anggota tentera yang berasal dari Samarahan dan bertugas di sebuah kem tentera di Kelantan telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching setelah mengeluarkan ancaman bahawa bagasi yang dibawanya memgandungi bom, untuk meletupkan pesawat.

Kejadian tersebut berlaku di kaunter masuk Air Asia pada jam 10.15 pagi sewaktu anggota tersebut mendaftar bagasi untuk penerbangan ke Kota Bharu, Kelantan.

Saksi yang juga petugas syarikat penerbangan memberitahu, anggota, bahawa kotak yang dibawanya mengandungi bom hingga menimbulkan suasana panik dan pasukan keselamatan dimaklumkan mengenainya.

Akibat gurauan tersebut, dia kemudian ditahan pihak berkuasa lapangan terbang dan Unit Pemusnah Bom dipanggil untuk menyelia pemeriksaan lima bagasi miliknya.

Bagaimanapun pemeriksaan bagasi tersebut tidak menemui sebarang alat letupan, sebaliknya hanya berisi ikan terubok dan kek lapis.

Suspek kemudian ditahan kerana melakukan gurauan yang mengundang cemas dan ketakutan apatah lagi berlaku di kawasan sensitif.

Setelah tiga penerbangan tertangguh, polis mengisytiharkan kawasan lapangan terbang tersebut sebagai “selamat” sekitar jam 12.40 tengah hari tersebut dan operasi berjalan seperti biasa.

Insiden ini berlaku ketika ramai pengunjung berada di lapangan terbang tersebut bagi menghadiri temasya Sukan Malaysia (SUKMA XVIII). – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru