Friday, December 2, 2022

Terbaik, Khairy puas hati persediaan Sarawak anjur SUKMA XVIII

Secara Rawak

KUCHING: Terbaik. Itu kesimpulan yang dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dengan persediaan venue-venue pertandingan sempena Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) di Sarawak pada kali ini.

Menurutnya, penganjur telah melakukan persediaan sebaik mungkin, termasuk menaik taraf dan membina baharu pelbagai kemudahan sebelum temasya ini dirasmikan yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud semalam.

“Setakat ini, perjalanan sukan ini berjalan lancar dan segala-galanya mengikut jadual yang dirancang,” katanya ketika melawat Pusat Tenpin Boling di Emart Batu Kawa dekat sini pagi tadi.

Menurutnya, perkara-perkara kecil dan titik bengik adalah biasa dan tidak perlu diperbesar kerana penganjur telah menyediakan kemudahan yang terbaik untuk keselesaan para peserta.

Jelas Khairy, berhubung penganjuran kali ini, beliau turut memuji kerjasama rapat semua pihak yang terlibat, terutama dalam kalangan pegawai-pegawai persatuan dari Semenanjung, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dalam menjayakan sukan ini.

“Saya sangat gembira dengan sokongan semua pihak, terutama dari aspek teknikal. Ia amat membantu bukan sahaja dari aspek kelancaran, malah membantu dari aspek keselesaan atlet yang bertanding.

“Misalnya, dari aspek pendaftaran pemain. Inilah kali pertama saya mendapat laporan bahawa tidak berlakunya pertindihan penyertaan atlet semasa sukan berlangsung.

“Sebelum ini, di negeri-ngeri lain, masalah ini tidak dapat dielakkan hingga mendatangkan kekeliruan dan ada atlet sehingga tidak dapat menyertai acara yang sepatutnya mereka tandingi,” katanya.

Tambahnya, temasya ini adalah pendedahan yang terbaik kepada para atlet muda ini, terutama dalam menyediakan mereka menghadapi Sukan Sea yang akan berlangsung pada tahun hadapan, dengan Malaysia sebagai tuan rumah.

Untuk rekod, bagi menjayakan temasya ini, Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM400 juta untuk menaik taraf dan membina semula gelanggang-gelanggang dan arena pertandingan.

Sebanyak 25 acara dipertanding dalam SUKMA kali ini dengan 18 venue terletak di Bahagian Kuching, enam di Bahagian Samarahan, tiga di Bahagian Miri, dan dua di Bahagian Sibu.

Sesetengah acara berlangsung di dua venue serentak. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru