Perompak bersenjata parang di Padungan berjaya dicekup kerana cctv

0
19

KUCHING: Polis Kuching berjaya menahan seorang lelaki, kurang dua jam selepas dia merompak seorang wanita dengan bersenjatakan parang di Padungan, dekat sini.

Dalam kejadian sekitar jam 7.07 pagi tadi, wanita tersebut sedang menunggu kenderaan apabila didatangi perompak terbabit yang mengancam untuk menetaknya.

Takut akan ancaman tersebut, wanita terbabit melepas telefon bimbit dan beg tangannya, yang kemudian dilarikan lelaki terbabit, bersama-sama rakannya yang menunggang sebuah motosikal.

Malang bagi perompak tersebut, pihak polis segera memperoleh butiran mengenainya melalui rakaman litar tertutup (cctv) yang merakamkan insiden tersebut.

Ketua Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berkata, setelah menerima laporan mangsa yang berusia 23 tahun, sekitar jam lapan pagi, sepasukan polis kemudian bertindak menjejak suspek.

“Hasil jejakan, suspek yang berusia 28 tahun kemudian berjaya dicekup di Bandar Baru MJC  Batu Kawa ketika sedang menunggang motosikal.”

Dev berkata, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.

“Polis berjaya merekodkan pengakuan suspek berhubung rompakan itu dan kini sedang dalam usaha mengesan rakan subahatnya yang masih bebas,” katanya. – Sarawakvoice.com