Dunia kiamat Jumaat ini?

Khabar baru yang disebarkan melalui video akaun milik End Times Prophecies di YouTube berdurasi 20 minit bertajuk “Why The World Will End Surely on 29 July 2016?” meramalkan kiamat berlaku 29 Julai ini.

Narator video tersebut berkata “Saat Jesus turun buat kali kedua, kutub Bumi akan bertukar. Saat itu, bumi akan retak dan bergetar hebat.”

Narator Armagedon News itu juga menyebut objek di langit berjatuhan bagaikan buah masak yang jatuh dari pohonnya.

“Bulan berubah menjadi merah seperti darah, dan bintang mulai berjatuhan,” tambahnya.

Video yang sudah ditonton sekitar 3.4 juta orang itu mendakwa, seterusnya terompet dibunyikan dengan malaikat turun menjaga empat sudut Bumi.

Malaikat tersebut bertugas mengumpulkan para penduduk Bumi yang masih hidup.
“Ketika itu, setiap penduduk Bumi akan berkumpul. Mereka berkumpul untuk melihat kedatangan Jesus dari langit,” kata narator tersebut.

End Times Prophecies terkenal kerap memberikan ramalan berkaitan berakhirnya usia dunia.

Sebelum ini, mereka mendakwa Bumi ditimpa asteroid pada Mei lepas, namun, ramalan berkenaan tidak benar belaka.

Berita tersebut turut dihebohkan oleh penemuan pihak NASA pada 18 Julai lepas berkaitan wujudnya sebuah lubang ternganga di permukaan matahari.

Ilmu astronomi menyebut fenomena ini sebagai “Coronal Hole” atau Lubang Korona.

Berdasarkan fenomena ini, beberapa pihak mengaitkan hal ini dengan End Times Prophecies yang meramalkan kiamat berlaku 29 Julai ini.

NASA mengatakan fenomena ini biasa dan tidak berbahaya.

Sebagai catatan sebelum ini sudah berlaku banyak ramalan berkaitan kiamat yang berakhir dengan dakwaan bahawa semua berita tersebut adalah palsu dan bohong belaka.

Ayam betina Leeds, 1806: Pada 1806, ayam betina penghuni kota di Britain bertelur dan pada telur tersebut tertulis, “Jesus akan datang”.

Keajaiban tersebut membuat ramai orang percaya kiamat sudah dekat.

The Millerites, 23 April 1843: William Miller, petani New England setelah beberapa tahun mempelajari Bible memberitahu kiamat berlaku di antara 21 Mac 1843 dan 21 Mac 1844.

Beliau memutuskan kiamat terjadi 23 April 1843. Ramai yang menjual atau menyumbang barang milik masing-masing, tetapi kiamat tidak berlaku.

Kiamat versi Mormon, 1891: Joseph Smith, pengasas gereja Mormon mengadakan perjumpaan pemimpin gerejanya pada Februari 1835 mengumumkan dirinya bercakap dengan Tuhan.
Dalam percakapan tersebut, beliau tahu, 56 tahun yang akan datang, Jesus kembali ke Bumi dan kiamat berlaku.

Komet Halley, 1910: Pada 1881, ahli astronomi menemui ekor komet mengandung gas beracun “cyanogen”.

Halaman beberapa akhbar ketika itu termasuk The New York Times mencetak spekulasi bertanya, adakah orang di Bumi akan bermandi gas beracun.
Ia menimbulkan kecemasan di AS dan dunia luar.

Pat Robertson, 1982: Pada Mei 1980, tokoh yang kerap muncul di televisyen, Pat Robertson mengumumkan beliau mengetahui bila berlakunya kiamat.

Beliau menghebahkan kepada penontonnya, “Saya jamin, pada akhir 1982 akan terjadi penghakiman pada dunia.”

Gerbang Langit, 1997: Komet Hale-Bopp dikesan 1997, kemudian muncul desas-desus mengatakan pesawat alien mengekori komet tersebut.

Kumpulan Heaven’s Gate (Gerbang Langit) menyimpulkan dunia akan kiamat. Apabila kiamat tidak berlaku, 39 anggota kumpulan berkenaan membunuh diri pada 26 Mac 1997.

Nostradamus, Ogos 1999:Tulisan yang penuh teka-teki dan metafora oleh Michel de Nostrdame, menarik minat orang lebih 400 tahun.

Tulisannya diterjemahkan dalam pelbagai versi dan bahasa. Kekhuatirannya yang paling terkenal mengatakan, “The year 1999, seventh month/ From the sky will come great king of terror.”

Y2K, 1 Januari 2000: Menjelang berakhirnya 1999, banyak orang khuatir komputer jadi penyebab kiamat. Masalah tersebut pertama kali disedari pada 1970, iaitu banyak komputer tidak mampu membezakan tahun 2000 dengan 1900.

5 Mei 2000: Richard Noone, yang pada 1997 menulis buku “5/5/2000 Ice: The Ultimate Disaster” meramalkan salji di Antartika menjadi setebal tiga batu pada 5 Mei 2000.

Musim Gugur 2008: Ronald Weinland, menulis buku bertajuk “2008: God’s Final Witness” mengatakan ratusan juta orang mati pada akhir 2006.

Kiamat 2012 Suku Maya: Suku Maya pernah meramalkan dunia berakhir pada 21 Disember 2012 mengikut kalendar Maya Kuno.

Harold Camping: Harold Camping 12 kali meramalkan kiamatnya dunia ini berdasarkan kajiannya melalui Bible.

Camping meramalkan kiamat berlaku 1994, kemudian menukarnya kepada 21 Mei 2011 dan kemudian 21 Oktober 2011.

True Way: True Way ialah gerakan agama campuran unsur Kristian, Buddha dan teori konspirasi UFO, serta agama Chen Taiwan.

True Way meramalkan jutaan roh iblis bersama banjir besar memusnahkan manusia.
Ramalan tersebut tidak berlaku. – Sarawakvoice.com