Tiga nilai perlu diterapkan dalam sistem pendidikan negara

0
4

SERDANG: Datuk Seri Najib Razak mahu  tiga nilai penting diterapkan dalam sistem pendidikan negara sama ada di sekolah kebangsaan (SK) atau sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Perdana Menteri berkata, tiga nilai teras itu ialah kesederhanaan, sikap saling menghormati, dan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan masyarakat terutama golongan pendidik, ibu bapa dan murid.

Katanya, kesederhanaan harus menjadi perkara pertama diamalkan di sekolah-sekolah bagi memastikan keharmonian pelbagai kaum, agama dan bangsa di negara ini dapat dikekalkan.

Kesederhanaan juga, katanya, mampu menolak sebarang anasir yang menjurus kepada ekstremisme hingga boleh merosakkan keharmonian dan keamanan negara.

“Kita mesti memberi penekanan kepada kesederhanaan. Kerana kalau kita pilih jalan pertengahan, iaitu tidak ekstrem, tidak terlalu liberal, maka negara kita akan sentiasa aman dan harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pengumpulan Dana untuk pembinaan fasa kedua Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan di sini, malam tadi.

Menurut Najib nilai kedua adalah sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain.

“Penting bagi kita amalkan sikap saling menghormati. Kita jangan menidakkan orang lain atau menghina orang lain. Kita tidak seharusnya memandang rendah atau menghina mereka. Jika kita saling menghormati, orang lain akan turut menghormati kita,” tambahnya.

Perkara ketiga, kata Najib  adalah mengekalkan semangat patriotisme dan menunjukkan rasa cinta kepada negara, selain mengutamakan usaha menjaga hubungan baik antara masyarakat pelbagai kaum penting diterapkan.

Mengenai pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Perdana Menteri berkata beliau telah meminta menteri-menteri daripada MCA dan parti komponen Cina yang lain dalam Barisan Nasional (BN) untuk meyakinkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk pengiktirafan itu.

“Saya dimaklumkan perbincangan berjalan lancar setakat ini. Kami harap tidak lama lagi, kami boleh buat keputusan berdasarkan semangat BN,” kata beliau.

Najib berkata, kerajaan menggalakkan kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak swasta, komuniti perniagaan, lembaga pengarah sekolah dan badan bukan kerajaan bagi memajukan sekolah di negara ini.  – Sarawakvoice.com