Nancy yakin proses penurunan kuasa Kerajaan Pusat kepada Sarawak berjaya

0
5

KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri semalam melahirkan keyakinan bahawa pasukan Sarawak akan berjaya dalam proses rundingan penurunan autonomi kuasa dari kerajaan pusat kepada kerajaan negeri.

Ditemui semasa sambutan Hari Sarawak di Tebingan Kuching semalam, Nancy yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai isu ini berkata, pasukan Sarawak telah cukup bersedia dari sudut pembentangan proses ini.

“Saya telah melihat dokumen-dokumen daripada pasukan Sarawak. Mereka cukup bersedia. Tetapi saya tidak dapat bercakap untuk pihak Sabah,” katanya.

Nancy menjelaskan, beliau yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak amat prihatin dan menyokong akan aspirasi rakyat Sarawak ini.

“Malah untuk bertindak adil, kami menteri-menteri persekutuan yang berasal dari Sarawak sentiasa melihat aspek Sarawak, bagi memastikan kepentingan dan hak negeri ini tidak terabai dalam apa jua keputusan yang kami buat,” tambahnya.

Katanya, dalam menangani isu sebesar ini, penting untuk ia tidak berakhir di meja rundingan.

“Saya menaruh kepercayaan yang tinggi kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem untuk kita untuk ‘walk the talk’ (mengotakan apa yang dikata).

Ditanya kenapa isu ini (kuasa dan hak Sarawak) dipinggirkan oleh ahli sejarah sebelum ini, Nancy enggan menuding jari kepada sesiapa.

“Dokumen IGC (Laporan Jawatankuasa Kerajaan) yang menjadi rujukan lampiran kepada Perjanjian Malaysia yang ditandatangani di England hanya dibuka kepada umum pada sekitar tahun 2012-2014.

“Oleh itu, tidak adil untuk kita menyalahkan sesiapa.

Sebaliknya kata Ahli Parlimen Batang Sadong itu, lebih baik untuk kita maju ke hadapan dengan melakukan semakan dan menangani apa yang terlepas pandang sebelum ini.

Semalam sewaktu berucap pada sambutan Hari Sarawak, Adenan berkata, proses penurunan autonomi atau kuasa ini dibincangkan setelah mendapati berlakunya “hakisan kuasa dan hak” negeri Sarawak sepanjang 50 tahun membentuk Malaysia.

“Kerana itu kita menuntut kembali hak kita dan proses ini akan ditangani oleh jawatankuasa teknikal yang dianggotai oleh pakar perundangan dan sejarah daripada kedua-dua belah pihak.

“Kita mengharapkan keputusan akan dapat dicapai pada akhir tahun ini, atau sekurang-kurangnya pada tahun depan,” katanya.

Adenan turut memberi jaminan bahawa Sarawak akan kekal dalam Malaysia.

“Sarawak tidak keluar dari Malaysia sebelum ini, sekarang dan akan datang.” – Sarawakvoice.com