KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menjalinkan kerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kerjasama itu tertumpu pada kemungkinan perbuatan penyelewengan dan penggubahan wang haram oleh seorang ahli perniagaan yang dikatakan menipu 1MDB, kata SPRM dalam satu kenyataan.

“Berhubung laporan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) mengenai 1MDB, SPRM telah menjalinkan kerjasama dengan FBI kerana kedua-dua pihak telah mempunyai hubungan kerjasama yang lama sebelum ini,” kata kenyataan ringkas itu.

Pada Rabu, Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat telah memohon  untuk merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion ($1.36 bilion) yang dibeli menggunakan wang yang dipercayai dicuri daripada sebuah dana pelaburan kerajaan Malaysia, 1MDB.

Dalam fail mahkamah, Jabatan Kehakiman Amerika menamakan tiga orang yang ia percayai berkomplot memesongkan wang berbilion bilion dolar daripada 1MDB.

‎Difahamkan, pihak DOJ telah memohon untuk merampas sejumlah 17 aset termasuk hartanah mewah dan sebuah pesawat jet.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam dalam satu kenyataan berkata, beliau  memandang berat kenyataan yang dibuat oleh DOJ, AS.

“Perlulah dijelaskan bahawa ini merupakan tindakan sivil, dan bukan tindakan jenayah.

Dan ia terhad kepada nama-nama yang telah pun disebutkan dalam laporan tersebut,” katanya melalui najibrazak.com. Oleh itu, dari segi kerajaan, katanya, ia akan memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada semua pihak siasatan peringkat antarabangsa.

“Pendirian kita selama ini jelas iaitu kita tidak mahu melihat apa-apa perbuatan yang boleh melanggar undang-undang,” tambahnya. Oleh itu, kata Najib, proses perlulah dihormati, maknanya seseorang itu ada peluang untuk membela diri sendiri atau pun menggunakan proses kehakiman di mahkamah dan kita tidak sewajarnya membuat apa-apa kesimpulan selagi proses itu belum selesai.

“Kita pandang serius perkara ini dan kita tidak ingin ada mana-mana pihak yang menyalah anggap bahawa kerajaan tidak mengurus tadbir dengan baik. Kerajaan mahu prinsip good governance dan urus tadbir yang baik menjadi sesuatu yang akan sentiasa diperjuangkan oleh Malaysia,” tambahnya. – Sarawakvoice.com