Cukup, Sarawak tidak boleh selamanya diabaikan, tetapi siapa yang bolot sumber Sarawak?

0
3

KUCHING:  Cukup. Kalau 20 tahun atau 30 tahun tidak mengapa, tetapi sudah 53 tahun Sarawak merdeka dalam Malaysia.

Sarawak tidak boleh selamanya berada di belakang dari segi pembangunan dan kemajuan.

Sarawak sepatutnya dapat berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri lain di negara ini.

Keadaan Sarawak dalam bidang tertentu memang kurang membangun atau tidak membangun, termasuk dari segi bekalan air, elektrik, kemudahan sekolah dan beberapa lagi.

Persoalannya, salah siapa semua itu? Adakah semata-mata kesalahan dan kelemahan kerajaan Persekutuan?

Atau turut bersalah ialah pemimpin negeri, apatah lagi mengambil kira begitu banyak sumber di negeri ini, termasuk hutan, tanah dan sumber galian.

Ke mana perginya sumber-sumber berkenaan, dan siapa yang membolot semua itu? Apa yang dilakukan oleh wakil rakyat Barisan Nasional dan menteri dari Sarawak dalam Kabinet Persekutuan dalam tempoh 53 tahun lalu sehingga hak Sarawak dikatakan terhakis? Adakah mereka berdiam diri? Tidakkah mereka bersuara di Parlimen dan dalam mesyuarat Kabinet?

Meski beberapa sasaran untuk memenuhi keperluan berkenaan ditetapkan pada masa lalu, namun ia masih gagal dicapai.

Justeru, dalam ucapannya pada Hari Sarawak di Tebingan Kuching semalam, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mahu keadaan itu diperbetulkan, dan tidak lagi berterusan.

Justeru, beliau bukan sahaja memohon supaya rakyat Sarawak bersatu memberi sokongan dalam usaha mendapatkan haknya yang terhakis dalam tempoh lebih lima dekad, tetapi menuntut pengertian dan simpati daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kita berharap mendapat sokongan daripada rakyat. Bersabar dan hendaklah bersama kami sementara kami terus berjuang menuntut hak anda,” katanya, sambil merakamkan penghargaan kepada pembangkang kerana turut hadir dalam perayaan Hari Sarawak.

“Kita semua sama, kerajaan dan pembangkang dalam menuntut hak Sarawak,” kata Adenan.

“Kita minta Kerajaan Persekutuan agar lebih simpati apabila kita persoalkan hak kita tentang sumber kita. Sebab sumber berkenaan hak kita,” tegasnya.

Hari Sarawak diraikan pertama kali secara rasmi dan diisytiharkan sebagai cuti umum pada tahun ini.

Pada sambutan kali ini, tumpuan adalah pada “Nine Cardinal Principles”, perlembagaan dirangka Rajah Brooke ketiga, Charles Vyner Brooke.

Namun perlembagaan itu tidak sempat dilaksanakan kerana pendudukan Jepun mulai 1941.

Sarawak di bawah kepemimpinan Adenan telah menuntut hak yang sepatutnya dinikmatinya sebagaimana termaktub dalam beberapa perjanjian dan laporan seperti Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Antara Kerajaan.

Sambil menegaskan Sarawak tidak akan keluar daripada persekutuan Malaysia, Adenan bagaimanapun berkata, pegawai Persekutuan perlu faham bahawa kedudukan dan hak Sarawak berlainan daripada wilayah lain di negara ini.