Thursday, December 1, 2022

SUKMA XVIII: Polis Kuching nasihat pengunjung jangan pakai barangan kemas, bawa beg mudah diragut

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai hari ini menasihati orang ramai yang hadir menyaksikan majlis perasmian dan penutupan Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) agar tidak menggunakan barangan kemas yang keterlaluan, selain membawa beg duit serta tas tangan yang menonjol.

Menurutnya, tindakan seperti itu sebenarnya agak berbahaya kerana mendedahkan mereka untuk menjadi mangsa jenayah ragut dan rompak.

“Pada masa yang sama kita tidak menggalakkan orang ramai meninggalkan barangan berharga, termasuk peralatan elektronik seperti komputer riba, jam tangan dan telefon bimbit di dalam kenderaan, kerana ia mendedahkan kepada jenayah pecah kenderaan,” katanya pada sidang media khas, sempena dengan temasya sukan tersebut di Ibu Pejabat Polis Kontijen, pagi tadi.

Abang Ahmad berkata, dengan jumlah 45 ribu pengunjung serta lebih 12 ribu petugas, pegawai dan atlet yang terlibat dalam sukan terbesar di negara ini, sikap berhati-hati adalah dituntut.

“Malah kita menyeru mereka yang membawa anak-anak kecil agar sentiasa memastikan keselamatan anak-anak mereka dan mengenal pasti di mana mereka berada,” katanya.

Jelasnya, sempena dengan acara perasmian yang akan berlangsung pada lusa, 23 Julai 2016, beberapa batang jalan di sekitar kawasan tersebut akan ditutup seawal jam 5.00 petang.

“Antara laluan ini termasuklah Jalan Stadium, Jalan Stadium ke Kasuma Resort, Jalan Diplomatik dan jalan dari arah Bako menuju ke stadium.

“Laluan alternatif sehala yang dicadangkan sepanjang waktu penutupan itu adalah melalui bulatan Hamidah, menuju ke Jalan Diplomatik dan maju ke simpang Kasuma Resort sebelum memasuki laluan ke Pejabat Kraftangan , bagi menuju ke parkir awam.

Ruang parkir awam yang disediakan adalah di kawasan zon D dan E manakala zon A untuk parkir motosikal.

Polis bagaimanapun katanya, akan menyediakan lebih 380 petugas pada malam itu terutama untuk menangani dan menyuraikan trafik, kerana dianggarkan lebih 20 ribu kenderaan akan berada di Kompleks Sukan Sarawak pada masa yang sama.

“Saya memohon agar orang ramai memberi kerjasama kepada anggota yang bertugas termasuk dengan datang awal ke majlis ini bagi mengelakkan kesukaran memasuki stadium.” – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru