Mengenali Tun Abang Haji Openg, Gabenor Sarawak pertama dalam Malaysia

0
51

Yang di-Pertua Negeri atau Gabenor Sarawak yang pertama, Tun Abang Haji Openg Abang Sapie’e dilahirkan pada 7 Oktober 1905.

Beliau mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kerajaan di Kuching sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah St. Anthony, Sarikei dan Sekolah Malam St. Thomas, Kuching.

Tun_Abang_Haji_OpengSetelah tamat persekolahan, Openg memulakan kariernya sebagai seorang kerani di jabatan kerajaan pada bulan November 1942.

Beliau telah memegang beberapa jawatan penting selepas itu.

Antaranya termasuklah sebagai Ahli Supreme Council, Ahli Badan Peperiksaan Pegawai-Pegawai Kerajaan, Superintenden Penjara dan Presiden Majlis Ugama Islam Sarawak.

Openg bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada bulan September, tahun 1951 dan dilantik menjadi Presiden Majlis Islam Sarawak sehinggalah dilantik secara rasminya menjadi Gabenor Sarawak yang pertama dalam Malaysia pada 13 September 1963.

Pada 28 Mac 1969,  Tun Abang Haji Openg Abang Sapi’ee, Gabenor Sarawak yang pertama dalam Malaysia telah kembali ke rahmatullah di Astana, Kuching.

Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.30 malam setelah jatuh sakit beberapa lama.  Beliau meninggalkan seorang balu Dayang Masniah Abang Haji Abdul Rahman dan sepuluh anak.

Jenazah allahyarham dibawa dari Astana, menyeberangi sungai dengan menaiki feri untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Masjid Negeri, Kuching.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra, Menteri Kerjaraya Pos dan Talikom, Ketua-Ketua Menteri, Menteri Persekutuan bagi Sarawak, Menteri-Menteri Kabinet, para pembesar dan rakyat Sarawak.