Kerajaan akan kaji semula kadar parkir di kawasan tertentu di KL

0
5

KUALA LUMPUR:Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Kerajaan akan mengkaji semula kawasan perniagaan dan tarikan utama (CBD) yang dikenakan kadar caj parkir sama seperti di pusat bandar yang bermula 16 Julai lalu.

Katanya, bagi kawasan CBD kadar parkir yang kita laksanakan sebelum ini akan dikekalkan, sebaliknya bagi kawasan seperti Sri Hartamas, Bangsar, Taman Tun Dr Ismail, dan Kepong kerajaan akan melihat semula kerana dalam struktur pelan bandar raya lama ia merupakan kawasan CBD.

Beliau berkata DBKL akan sentiasa mendengar keluhan, rintihan dan kritikan pelbagai pihak bagi membaiki perkhidmatannya.

“Kita akan buat penambahbaikan dan dengar keluhan dan suara hati rakyat kerana kita kerajaan yang mendengar rintihan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Wilayah Persekutuan 2016 di Pekarangan Perbadanan Putrajaya.

Bagaimanapun, katanya rakyat diminta tidak mengeluh tentang kadar caj parkir berkenaan kerana hakikatnya ia sudah lama tidak dinaikkan.

Katanya: “Rakyat perlu sedar kadar kenaikan parkir ini sudah 40 tahun tidak dinaikkan,” kata Tengku Adnan

Katanya; “Kalau ikut undang-undang kita boleh kenakan kadar parkir dari 7 pagi hingga 10 malam dan hari Sabtu.

Kadar pakir yang naik sehingga 150 peratus itu dianggap sebagai tidak munasabah oleh pihak tertentu, tetapi dianggap wajar oleh pihak lain bagi mengurangkan kesesakan di ibu kota, serta bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. – Sarawakvoice.com