Monday, November 28, 2022

Hari Sarawak: Pas turut komited mempertahankan kemerdekaan Sarawak

Secara Rawak

KUCHING:  Pas Sarawak berkata, ia konsisten dan komited dalam  mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan Sarawak dalam Malaysia.

Pesuruhjaya Pas Sarawak Jofri Jaraiee dan AJK Pas Pusat mewakili Sarawak, Mukhtar Suhaili dalam kenyataan bersama hari ini berkata, Pas Sarawak  menyokong agar hak-hak istimewa Sarawak yang terjamin dalam perjanjian dan dipersetujui sebagaimana termaktub dalam perlembagaan terus dipelihara.

“Pas Sarawak juga menyeru dan menegaskan agar kestabilan, kemakmuran dan kehidupan aman damai masyarakat majmuk di Sarawak akan dapat kekal dipelihara,” kata mereka sambil mengucapkan Selamat Menyambut Hari Sarawak kepada rakyat Sarawak.

Tarikh 22 Julai juga telah diisytiharkan sebagai cuti umum di Sarawak mulai tahun ini.

Pagi tadi pelbagai acara mencatatkan espisod sejarah Sarawak dipersembahkan dan dipamerkan di Tebingan Kuching.

“Kepelbagaian agama, bangsa dan rumpun etnik sewajarnya menjadikan rakyat Sarawak terus saling menghormati, saling menghargai dan saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain,” kata kenyataan itu.

Sarawak pernah berada di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei Darussalam dari tahun 1599 hingga 1842 sebelum diserahkan kepada pentadbiran Rajah Brooke dari 1842 hingga 1941.

Sarawak seterusnya sempat diperintah oleh Jepun dari 1941 hingga 1945 sebelum berada di bawah penjajahan Kolonial British dari 1946 hingga 22 Julai 1963.

Pada  22 Julai 1963, British telah menyerahkan pentadbiran kepada anak Sarawak dan tarikh inilah diambil sebagai Hari Sarawak yang disambut pada hari ini. Seterusnya pada 16 September 1963,

Sarawak telah bergabung bersama Persekutuan Tanah Melayu, Singapura (menarik diri pada 1965) dan Borneo Utara (Sabah) untuk membentuk Persekutuan Malaysia.

Katanya: “Pas juga ingin mengambil kesempatan menyeru agar Kerajaan Sarawak akan terus mentadbir negeri ini dengan baik dan harus berganding bahu, bergerak bersama penuh dedikasi bersama seluruh lapisan rakyat termasuk parti-parti politik pembangkang.”

Ini, kata mereka, penting untuk memastikan Sarawak membangun dengan pesat, maju dan progresif seterusnya mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi yang diimpikan dan dicita-citakan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru