Hari Sarawak, Kami anak Sarawak, mari kita raikan

0
9

Ini hari kita. Hari kita semua. Selepas 53 tahun akhirnya orang Sarawak mempunyai hari mereka sendiri, hari yang boleh dibanggakan oleh mereka. Kami anak Sarawak.

Sesungguhnya, ini  hari yang menandakan tarikh yang signifikan dalam lembaran sejarah.  Yang lebih penting daripada itu, ini hari untuk mengingatkan kita tentang jasa, perjuangan dan pengorbanan para pejuang kemerdekaan terdahulu, seperti Tun Abang Haji Openg, Temenggong Jugah Barieng, Datu Bandar Abang Haji Mustapha, dan lain-lain.

Merekalah antara pemimpin yang telah membujuk rakyat Sarawak supaya bersetuju untuk sama-sama membentuk Malaysia.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem  ketika mengumumkan Hari Sarawak pada April lalu berkata, pengisytiharan itu dibuat sebagai menghargai jasa pejuang Sarawak. “Pengisytiharan ini adalah untuk mengenang jasa generasi lama yang berjuang untuk Sarawak,” katanya.

Kita perlu bersatu hati meraikan hari ini. Hari ini juga adalah hari yang dapat menyemai rasa kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat berbilang etnik di negeri ini. Dengan itu, kita dapat mengukuhkan lagi kesepaduan sosial dan perpaduan sesama kita.

Hari ini juga dapat meningkatkan kesedaran sejarah Sarawak yang memang kaya, tetapi belum banyak diterokai dan diketahui.

Inilah waktunya untuk kita kembali kepada sejarah, tentang bagaimana lebih lima dasawarsa lalu, ayah dan datuk nenek kita berjuang.

Kita perlu berbangga dengan hari ini, dan menghargai apa yang dilakukan oleh Ketua Menteri yang mengisytiharkannya sebagai Hari Sarawak, sekali gus hari cuti umum. – Sarawakvoice.com