Tarikh 16 September sebagai hari kemerdekaan sejarah Sarawak dan pembentukan Malaysia. Tarikh 31 Ogos 1963 dirancang namun terpaksa ditangguhkan khususnya bagi menunggu laporan yang mengesahkan majoriti penduduk Sarawak dan Sabah menyokong pembentukan Malaysia.
Tidak ramai mengetahui sejarah pada 24 September 1941 di Sarawak, iaitu Charles Vyner Brooke telah mengisytiharkan perlembagaan Sarawak sempena perayaan 100 tahun pemerintahan keluarga Brooke.
Antara lain, perlembagaan ini menekankan aspek pemberian kuasa kepada rakyat Sarawak. Perlembagaan ini merupakan perlembagaan bertulis pertama Sarawak namun tidak sempat dilaksanakan akibat Perang Dunia Kedua tercetus.
Perlembagaan Sarawak 1941 antara lain menyatakan penyerahan kuasa Charles Vyner Brooke kepada Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri manakala Majlis Negeri diberikan kuasa meluluskan undang-undang dan menguruskan kewangan.
Perlembagaan ini merupakan langkah Sarawak mempunyai kuasa dan pentadbiran sendiri, mengakhiri pemerintahan autokratik Brooke yang akan membenihkan institusi demokrasi yang akhirnya membawa kepada penubuhan kerajaan sendiri.
Pindaan Perlembagaan Sarawak pada Mac 1963 telah membolehkan ahli Majlis Negeri ditambah dengan 36 orang dipilih, seorang ahli tetap, tiga orang dari dalam jawatan, seorang speaker dan tiga dilantik. Seterusnya, pada 13 Julai 1963 selepas pilihan negeri Sarawak, Parti Perikatan Sarawak membentuk kerajaan negeri pertama.
Hari Sarawak perspektif teori interaksi simbolik
Dalam teori sosiobudaya terdapat teori interaksi simbolik yang meneliti aspek tingkah laku, tindakan manusia dalam interaksi sosial dan ini membawa kepada tindak balas dan mempengaruhi kelompok dan kehidupan mereka.
Teori ini berbeza dengan teori konflik kerana tidak menumpu perhatian ke atas masyarakat itu sendiri, tetapi terhadap cara manusia berfikir dan mentafsir serta mengolah bentuk pandangan hidup mereka dalam masyarakat.
Jadi kepentingan makna simbolik diungkap dalam tafsiran dan ahli antropologis akan cuba diteliti untuk memahami perlakuan manusia dengan mempelajari makna perlakuan itu terhadap pendukung atau pelakunya. Sikap dan pendirian seseorang itu banyak dicorakkan oleh kelompok sosial.
Hari Sarawak
Berdasarkan teori budaya ini, diyakini tarikh 22 Julai 1963 dipilih sebagai Hari Sarawak untuk mengingati perjuangan politik rakyat Sarawak.
Tarikh ini bersifat simbolik dan bersifat interaktif kerana mampu membina ‘imaginasi masyarakat Sarawak’ tentang proses kemerdekaan Sarawak. Ini akan mengukuhkan solidariti rakyat.
Hal ini perlu difahami dengan pemahaman konsep ‘the imagined community’ sebagaimana pernah digagaskan oleh Benedict Anderson, intelektual terkenal dalam pengkajian Asia Tenggara.
Tarikh tersebut dijadikan tarikh simbolik kerana pada 22 Julai Gabenor Kerajaan Inggeris terakhir, iaitu Sir Alexander Waddell keluar dari Astana kemudian menaiki sampan menyeberangi Sungai Sarawak untuk menyerahkan pentadbiran Kerajaan Sarawak kepada rakyat tempatan.
Aspek simbolik ini membina memori kolektif rakyat Sarawak. Pada ketika itulah, Bendera Union Jack diturunkan. Pada hari itulah kabinet tempatan bermesyuarat dan Datuk Stephen Kalong Ningkan menjadi Ketua Menteri Sarawak yang pertama.
Kekeliruan tentang perkara ini berlaku kerana perkara ini tidak ditekankan dalam penulisan buku teks sejarah kerana ia lebih berdasarkan pandangan bersifat sisi antropologi kebudayaan dan ilmu sosiologi.
Politik memanfaatkan aspek simbolik
Bagi golongan lama, tarikh 16 September tidak wujud daripada kekosongan. Bagi mereka, tarikh 22 Julai wajar dingati khususnya oleh rakyat Sarawak bagi memahami sejarah Sarawak yang tidak bermula hanya selepas menubuhkan Malaysia, sebaliknya sejarah Sarawak lebih tua daripada itu.
Ternyata sejarah tidak terbina oleh fakta sejarah semata-mata, tetapi turut dipandang daripada perspektif kajian sosiobudaya ataupun aspek antropologi dan sosiologi yang melihat perlakuan manusia dan simbol-simbol atas perlakuan ahli masyarakat.
Ahli politik nampaknya sedar manfaat aspek simbolik yang memberikan makna mendalam tentang proses sejarah yang berlaku dalam masyarakat.
Justeru, Hari Sarawak diadakan bagi melunakkan sokongan rakyat secara politik dan sosial.
Justeru, cuti umum pada setiap 22 Julai di Sarawak penting untuk mengingati proses awal sejarah kemerdekaan Sarawak.
Pun begitu cuti umum hari 16 September yang pada mulanya tidak disokong oleh ahli politik BN Sarawak sendiri akhirnya memakan dirinya apabila diumumkan sebagai cuti umum perlu juga diraikan oleh semua rakyat Malaysia. – Sarawakvoice.com