Monday, November 28, 2022

Bantuan Interpol Malaysia diminta jejaki Datuk, suspek utama bunuh Bill Kayong

Secara Rawak

KUCHING: Polis telah memohon bantuan Interpol Malaysia untuk menangkap seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, seorang daripada suspek utama dalam kes pembunuhan Bill Kayong, demikian menurut The Borneo Post hari ini.

“Ya, kami telah memohon bantuan Interpol Malaysia. Kami masih menunggu maklum balas terhadap permintaan kami itu,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Dev Kumar.

Akhbar itu juga berkata, ia menerima kenyataan daripada jurucakap Jabatan Ketua Hakim Negara Australia sama ada mereka telah menerima permohonan daripada polis Malaysia.

“Menurut amalan biasa selama ini, Kerajaan Australia tidak memberi komen terbuka berkaitan perkara ekstradisi, termasuk sama ada kami telah menerima permintaan ekstradisi, sehingga orang berkenaan ditangkap atau dibawa ke muka pengadilan,” kata kenyataan berkenaan.

Beberapa hari lalu, polis mengesahkan seorang suspek bergelar Datuk yang diburu berikutan kes pembunuhan Setiausaha PKR cawangan Miri, Bill Kayong dipercayai berada di Australia.

Dev Kumar dipetik sebagai berkata, suspek melarikan diri ke luar negara pada 23 Jun lalu iaitu dua hari selepas kejadian.

Bill atau nama Islamnya, Mohd. Hasbie Abdullah, 43, ditemui mati di dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux akibat terkena tembakan pada leher di persimpangan lampu isyarat Jalan Miri-Bintulu ketika dalam perjalanan menuju ke pejabatnya pada 21 Jun lalu.

Beliau merupakan seorang aktivis yang memperjuangkan isu Tanah Adat Bumiputera (NCR) dan calon PKR Bekenu yang lantang bersuara memperjuangkan nasib pemilik tanah berkenaan.

Dua lelaki yang ditahan telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Miri.

Mohamad Fitri Pauzi, 29, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Bill pada 21 Jun sekitar 8.20 pagi di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya E-Mart Jalan Miri-Bintulu.

Manakala tertuduh kedua, Lie Chang Loon, 37, didakwa bersubahat dengan Mohamad Fitri mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru