Apa yang berlaku pada 21 Julai 1963?

0
9

KUCHING:  Stephen Kalong Ningkan telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pertama pada 21 Julai 1963.

Setiausaha Agung Perikatan Sarawak itu dilantik oleh Gabenor Sir Alexander Waddell, yang juga melantik tiga orang ke Council Negeri, dan mewujudkan Majlis Tertinggi yang baharu.

Ningkan dilantik selepas Gabenor yakin beliau mendapat keyakinan dan sokongan majoriti ahli Council Negeri.

Tiga orang yang dicalonkan ialah Abdul Taib Mahmud, Teo Kui Seng dan Ling Beng Siong.

Selain Ketua Menteri dan tiga orang ahli ex-officio, Gabenor atas nasihat Ketua Menteri melantik lima ahli Council Negeri sebagai ahli Majlis Tertinggi, iaitu, Abdul Taib, Teo Kui Seng, Awang Hipni Pengiran Annu, Dunstan Endawi ak Enchana dan James Wong Kim Ming.

Kalong Ningkan-0001

Majlis Tertinggi bermesyuarat untuk pertama kali, dipengerusikan oleh Waddell.

Abdul Taib yang mendapat pendidikan di Sekolah St Joseph dan lulusan undang-undang dari Australia, ketika itu hanya berusia 27 tahun.

Sarawak pernah di bawah taklukan Kesultanan Brunei dari 1599 hingga 1841, kemudiannya di bawah perlindungan British dari 1888.  

Selepas Perang Dunia Kedua, wilayah berkenaan ditadbir oleh British Military Administration, dan seterusnya menjadi kawasan jajahan pada 1946.

Pada ketika itulah berlaku sama ada Sarawak perlu terus di bawah pemerintahan Rajah Brooke atau diserahkan kepada British sehingga berlakunya gerakan antipenyerahan atau anti-cession yang memecahkan masyarakat Bumiputera, khususnya Melayu yang amat teruk kesannya.

Sarawak diberi kuasa memerintah sendiri pada 22 Julai 1963, dengan syarat ia bersama-sama dengan Borneo Utara, Singapura dan  Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia. – Sarawakvoice.com