22 Julai: Selamat Menyambut Hari Sarawak, hari ini

0
7

Betulkah Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963? Beberapa hari lalu Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, beliau tidak mahu terheret dalam polemik tarikh 22 Julai.

Beliau serahkan kepada ahli dan pakar sejarah.

Orang sejarah bercakap berdasarkan fakta dan bukti, bukan omong kosong atau ikut cakap-cakap orang yang bukan pakar. Sejarawan perlu bersikap objektif, dan objektiviti amat penting dalam sejarah ketika membuat satu penilaian, termasuk penghakiman moral.

Sekurang-kurangnya dua orang  sejarawan dan ahli  akademik terkemuka berpendapat 22 Julai 1963  bukan tarikh kemerdekaan seperti diandaikan ramai orang.

Pada tahun lalu, Prof Michael Leigh, yang terkenal dengan kajiannya tentang politik Sarawak, The Rising Moon, dan telah mulai menyelidik sejarah dan politik Sarawak sejak 1962, mendedahkan bahawa tarikh tersebut ialah hari kabinet Sarawak atau kabinet perikatan dibentuk.

Leigh yang pernah  menjadi pengarah  pertama Institut Kajian Asia Timur, Universiti Malaysia Sarawak (1997-2003) menyatakan kenyataan bahawa Sarawak memperoleh kemerdekaan daripada British pada 22 Julai 1963 adalah tidak tepat.

Penyelidik   dan penulis yang banyak menulis buku tentang Sarawak itu berkata, tarikh tersebut merupakan hari kabinet Sarawak atau kabinet perikatan dibentuk, dan bukan hari kemerdekaan.

“Sarawak diberi hak mentadbir sendiri pada 31 Ogos 1963, dan mentadbir sendiri hingga 16 September (1963). Ia  berdasarkan hakikat gabenor British  setuju untuk menerima nasihat kabinet Sarawak yang dibentuk pada Julai (1963).

Namun, kata profesor sejarah politik itu lagi,  gabenor British masih memegang kuasa penuh hingga 16 September 1963.

“Bagaimanapun, mulai 31 Ogos hingga 16 September (1963), dia (gabenor British) berkata dia akan akur dengan keputusan kabinet Sarawak,” katanya.

Beliau banyak menggunakan dokumen di Australia dan London untuk penyelidikannya, termasuk fail yang baru dibuka.

Sesiapa yang hendak menyelidik sejarah Sarawak, bukan hanya perlu bergantung kepada sumber tempatan, tetapi dokumen yang kini disimpan di arkib di London.

Mengulas pendapat  pelbagai pihak, termasuk Ketua Menteri yang mengiktiraf 22 Julai 1963 sebagai tarikh sebenar kemerdekaan Sarawak, Leigh  secara bergurau  dipetik sebagai berkata: “I am all in support of public holidays. Public holiday is a good idea.”

Bagi beliau, mungkin ada sumber dokumen lain, namun beliau tidak menemui sumber dokumen yang menyatakan kemerdekaan sebenarnya diperoleh sebelum 16 September.

Katanya:“Mungkin ada sumber dokumen lain. Saya cuma tidak menemui sumber dokumen yang menyatakan kemerdekaan sebenarnya diperoleh sebelum 16 September.”

Sebagai penuntut sejarah kita diingatkan agar setia dan bergantung kepada sumber dan bukti.  Sebarang pendapat tidak berdasarkan bukti adalah omong kosong dalam sejarah.

Jadi, buktikan dahulu di mana sumber sahih yang mengatakan bahawa memang tarikh tersebut Sarawak merdeka.

Setakat ini memang tidak ada sumber dan bukti yang mengesahkan, kemerdekaan Sarawak dicapai sebelum 16 September.

Hakikatnya, 22 Julai pasti tidak ada jika tidak ada 16 September 1963. Maksudnya, 22 Julai diberi kerana sebagai persediaan kemerdekaan 16 September, atau sebenarnya 31 Ogos, jika ikut perancangan asal.

Prof Leigh menegaskan, Sarawak sebenarnya tidak memperoleh kemerdekaan pada tarikh tersebut.

Kata beliau dalam bahasa Inggeris:  “It (Sarawak) was self-governed, not independent. Singapore was a self-government from 1959 to 1963, and it became independent between Aug 31 and Sept 16; then (independent) again in August 1965.”

Prof Leigh yang kerap ke Sarawak dalam tempoh 50 tahun lalu tidak menafikan bahawa Sarawak pernah dijajah, sehinggalah ia mencapai kemerdekaan melalui Malaysia pada 1963.  Kewibawaan Prof Leigh memang tidak dapat diragui.

Selain sebagai pakar sejarah politik Sarawak yang telah menelaah beribu-ribu helai dokumen dan halaman akhbar, beliau juga pernah dilantik sebagai profesor Asia Kotemporari, dan pengarah Institut Asia, University of Melbourne.

Selain itu, Prof Leigh, juga pernah menjadi profesor di University of Sydney, dan pengarah akademik di  Kolej Antarabangsa, Pulau Pinang.

Sementara itu, sebelum Prof Leigh, seorang sejarawan  kelahiran Sarawak, Datu Dr Sanib Said, mempunyai pendapat yang sealiran dengan Prof Leigh.

Bagi Dr Sanib, adalah satu kesilapan jika kita memikirkan 22 Julai sebagai hari kemerdekaan. Beliau dipetik pada tahun lepas sebagai berkata bahawa terdapat kesilapan fakta dan andaian mengelirukan, terutamanya akhbar dan media sosial.

“22 Julai hanyalah permulaan proses kemerdekaan. Kita mencapai kemerdekaan daripada pihak British hanya untuk beberapa jam, pada 15 September 1963, apabila Gabernor Kolonial Sir Alexander Waddell berlepas ke Britain,” kata Sanib.

Seyogia diingatkan, bagaimanakah kita boleh katakan kita sudah merdeka pada tarikh tersebut jika gabenor masih berada di Astana pada pagi 15 September?

Bagaimanakah kita  begitu yakin menyatakan kita sudah merdeka apabila Gabenor tempatan pertama Datuk Abang Haji Openg hanya diisytiharkan sebagai Gabenor, selepas itu?

Sebenarnya, kita hanya mencapai kemerdekaan melalui Malaysia pada 16 September.

Sanib yang terkenal dengan kajiannya, Malay Politics in Sarawak 1946-1966, telah banyak menjalankan penyelidikan di peringkat  ijazah pertama, sarjana dan PhD tentang sejarah Sarawak, serta banyak menerbitkan artikel ilmiah dan buku berkaitan kajiannya.

Pendapat Prof Leigh dan Dr Sanib tentu tidak berdasarkan cakap kedai kopi, tetapi kajian ilmiah yang mengutamakan fakta dan objektiviti.

Sanib berkata, 22 Julai adalah tarikh Gabenor melantik Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri pertama Sarawak, Ahli Majlis Tertinggi turut membentuk kabinet pertama Sarawak.

Bagi sejarawan itu, Sarawak belum lagi merdeka ketika itu kerana ada kuasa yang masih dipegang gabenor dan Ratu di London.

Kata Sanib:  “Kita belum merdeka lagi kerana kuasa mutlak masih dipegang oleh gabenor penjajah dan Ratu di London.

“22 Julai menandakan proses permulaan mencapai kemerdekaan. Semua jajahan di bawah kerajaan British harus melalui proses sama bagi melatih orang tempatan untuk mentadbir negara,” katanya.

Mungkin disebabkan hujah tersebut, maka akhirnya Kerajaan Negeri Sarawak, akhirnya memutuskan untuk menamakan hari berkenaan sebagai Hari Sarawak. Tujuannya sebagai tanda penghargaan dan mengingat sumbangan pejuang kemerdekaan Sarawak.  Kalau ditanya rakyat Sarawak, tahukah mereka siapa para pejuang kemerdekaan itu?

Diharap Hari Sarawak dapat mengukuhkan semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai etnik di negeri Sarawak, serta meningkatkan kesedaran tentang sejarah dan perjuangan terhadap kemerdekaan sehingga terbentuknya Malaysia.

Selamat Menyambut Hari Sarawak. Selamat Bercuti. – Sarawakvoice.com