Tuesday, December 6, 2022

Ugut letupkan pesawat AirAsia, anggota tentera ditahan di LTAK Kuching

Secara Rawak

KUCHING: “Di dalam beg ini ada bom! Saya hendak bom ‘flight’!”

Itu ayat yang disebut seorang anggota tentera sebanyak dua kali pada jam 10.15 pagi tadi, hingga menyebabkan pasukan keselamatan terpaksa menahannya dan menyebabkan kegemparan berlaku di kaunter daftar masuk C2 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

ugut bomKetua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisoner Abang Ahmad Abang Julai berkata, bertindak daripada maklumat tersebut, pihak keselamatan LTAK pantas menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, bagi mendapatkan bantuan untuk menahan dan memeriksa suspek .

Biarpun mengaku kemudian dia hanya bergurau, dan di dalam beg yang dibawanya hanyalah ikan terubok dan kek lapis Sarawak, pasukan keselamatan tidak mahu mengambil risiko melepaskan suspek dan lima bagasi yang dibawanya.

“Malah pasukan IPD Kuching tiba turut meminta bantuan Unit Pemusnah Bom bagi bersama-sama suspek memeriksa bagasi berkenaan, apatah lagi dengan latar belakang suspek sebagai anggota tentera.

“Setelah pemeriksaan terperinci dilakukan, pihak polis berpuas hati bahawa tiada bahan letupan dijumpai di dalam beg tersebut.

Suspek yang berpangkat koperal selepas itu ditahan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan orang awam.

Sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

ap kch

Kerana keceloparan terbabit, suspek terpaksa melupakan hasratnya untuk terbang ke Kota Bharu, Kelantan menggunakan pesawat AK5507 AirAsia.

Polis turut mengisytiharkan kawasan lapangan terbang tersebut sebagai “selamat” sekitar jam 12.30 tengah hari tadi dan operasi berjalan seperti biasa.

Abang Ahmad berkata, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati pada masa depan dan tidak melakukan gurauan melampau seperti ini.

Ini merupakan kejadian pertama seumpamanya di negeri ini pada tahun ini, dan kebetulan ia berlaku ketika ramai hadir ke Sarawak untuk menghadiri temasya Sukan Malaysia (SUKMA XVIII). – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru