Monday, November 28, 2022

22 Julai, hari pengiktirafan untuk pejuang kemerdekaan Sarawak

Secara Rawak

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem tidak lama dulu dalam program Sejiwa Senada di Matang, Kuching telah mengumumkan 22 Julai sebagai Hari Sarawak dan cuti umum bagi negeri Sarawak.

Langkah yang dilihat sebagai memenuhi desakan daripada penduduk Sarawak terhadap pengiktirafan yang sewajarnya terhadap Kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963.

Pengumuman itu kelihatan agak lewat kerana 53 tahun sudah berlalu tetapi baik lewat daripada tiada.

Pengiktirafan terhadap tarikh 22 Julai sebenarnya juga boleh dilihat sebagai sebahagian daripada kayu pengukur hasil usaha rundingan antara Sarawak – Putrajaya.

Tindakan yang disambut gembira oleh penduduk di Sarawak tidak bermakna akan menjejaskan proses pembentukan negara bangsa Malaysia.

Ia sama sekali bukan bagi maksud meniup semangat kenegerian mahupun referendum untuk keluar daripada Persekutuan Malaysia seperti Singapura.

Sentimen kenegerian itu ada di mana-mana tetapi lazimnya apabila masuk bab pembentukan negara bangsa, selalunya semua rakyat mengutamakan kepentingan nasional apatah lagi berpandukan nilai patriotisme dan sayang akan negara yang sedia ada.

Andai kata pasukan JDT bertemu dengan Sarawak dalam Liga Super, pastinya penduduk dari Johor dan Sarawak menyokong pasukan negeri masing-masing tetapi jika pasukan negara yang bermain, mereka semua akan menyokong pasukan kebangsaan.

Yang petualangan sebenarnya adalah golongan yang rasis, serta mereka yang terjebak dengan gejala ekstremisme dan radikalisme dengan memperalatkan agama dan bangsa sebagai modal untuk mencapai agenda tersembunyi mereka.

Cuma kerap kali politiking yang keterlaluan telah mecetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat Malaysia walhal sepatutnya kita berkompromi dengan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Apatah lagi apabila menyentuh tentang fakta sejarah yakni peristiwa benar yang telah berlaku biarpun ada juga pihak yang menimbulkan persoalan-persoalan yang membuka ruang kepada penyelidikan lanjutan berhubung sejarah Sarawak.

Sebagai misalannya apakah Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 22 Julai 1963 bersama-sama dengan anggota kabinetnya bermaksud British telah menyerahkan Kuasa Eksekutif mentadbir sendiri sekali gus kedaulatan kepada Sarawak pada tarikh yang sama meskipun hanya ada pelantikan anak watan Sarawak, Tun Abang Haji Openg sebagai Gabenor pada 16 September 1963?

Dalam masa sama tiada pihak yang boleh menafikan rancangan pembentukan Persekutuan Malaysia telah mempercepatkan proses kemerdekaan Sarawak termasuk Sabah dan Singapura.

Untuk mengetahui lebih lanjut bab ini seseorang perlu memahami konsep federalisme atau pembentukan negara persekutuan.

Pasti ramai yang teruja ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan dengan semua ini.

Baik apa-apa pun Tok Nan sebagai pemimpin yang disenangi dan disayangi penduduk Sarawak setiap kali jika ditanya akan jawab dengan tegas tidak akan bersetuju Sarawak keluar daripada Persekutuan Malaysia.

Beliau sebaliknya memilih untuk berunding menggunakan demokrasi dalam BN untuk mendapatkan hak negeri Sarawak khususnya apa yang telah termeterai dalam Perjanjian Malaysia pada 1963 (MA63). – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru