Persiapan Hari Sarawak Jumaat ini lancar, sila ke Tebingan Kuching

0
4

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg berpuas hati dengan persiapan sambutan Hari Sarawak yang akan diadakan pada Jumaat ini.

Kerajaan Negeri telah mengisytiharkan 22 Julai sebagai  Hari Sarawak di sebalik kritikan dan pelbagai pandangan pakar dan pengkaji sejarah yang menyangkal bahawa tarikh berkenaan ialah hari Kemerdekaan Sarawak.

Disebabkan pandangan tersebut akhirnya Adenan mengisytiharkan hari berkenaan sebagai Hari Sarawak, dan bukan Hari Kemerdekaan Sarawak.

Jumaat ini merupakan kali pertama hari berkenaan diraikan secara rasmi.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengumumkan tarikh tersebut sebagai cuti umum pada perasmian kemuncak program ‘Sejiwa Senada 2016’ di Matang@Metro City April lalu.

Tujuan hari berkenaan bagi Ketua Menteri adalah untuk menghargai jasa dan sumbangan tokoh pejuang kemerdekaan Sarawak.

Dengan itu, Sarawak mempunyai tiga hari cuti umum, iaitu 22 Julai, 31 Ogos, dan 16 September – menjadikannya mungkin satu-satu-satunya negeri di dunia mempunyai tiga cuti umum untuk tujuan yang sama.

Tarikh itu, menurut pakar sejarah ialah tarikh Sarawak diberi kuasa pemerintahan sendiri sebagai persiapan untuk kemerdekaan pada 16 September.

“Pada tarikh berkenaan kuasa eksekutif diserahkan kepada anak tempatan yang diberi kepercayaan untuk mentadbir sendiri negeri Sarawak,” kata Abang Johari.

Sarawak bersama-sama dengan  Borneo Utara (Sabah), Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura telah membentuk Malaysia pada 16 September 1963. Namun, Singapura telah ditendang keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Pagi tadi, Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, dan Menteri Perumahan dan Urbanisasi  menyaksikan Sesi Raptai Sempena Sambutan Hari Sarawak di Tebingan Sungai Kuching, bertujuan untuk memperkemas memperbaik persembahan pelbagai pihak yang ikut serta, termasuk episod sejarah Sarawak bermula dari zaman pemerintahan Kesultanan Brunei hingga penjajahan British.

Dalam pada itu, Abang Johari  berkata, terpulang kepada  pakar sejarah untuk menjelaskan pertikaian  membabitkan tarikh sebenar kemerdekaan Sarawak. – Sarawakvoice.com