Penjawat kanan pusat digesa bantu proses autonomi, Sarawak tidak akan berpisah dari Malaysia — Adenan Satem

0
4

KUCHING: Dengan nada serius dan tegas, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem malam tadi mengingatkan semua menteri persekutuan serta penjawat kanan persekutuan di Putrajaya agar memberikan kerjasama dan bantuan untuk menyegerakan proses penurunan kuasa daripada kerajaan pusat kepada kerajaan negeri pimpinannya.

Perkara ini katanya, penting kerana semua pihak mesti menghormati hak dan keistimewaan negeri ini dan juga Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan, Perlembagaan Persekutuan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

“Kebanyakan pegawai dari Semenanjung yang mengendallikan proses ini belum pun lahir apabila lima dokumen ini dirangka.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan penubuhan pasukan pakar daripada Kerajaan Negeri untuk membantu berhubung perkara yang berkaitan undang-undang dan perlembagaan,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan bersama Gawai Dayak-Kaamatan anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun di Kampung Budaya Sarawak malam tadi.

Menurut Adenan, perkara ini telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kedua-dua pihak turut bersetuju agar Peguam Negara, Tan Sri Muhamed Apandi Ali dan Peguam Besar Negeri, Datuk Abdul Razak Tready berbincang lanjut mengenai usaha ini.

“Penurunan kuasa ini bukan bermaksud untuk kita hendak keluar dari Persekutuan Malaysia, tetapi bertujuan mendapatkan kembali hak dan kelebihan, seperti yang dijanjikan sewaktu penubuhan negara ini 53 tahun lalu.

“Ketika itu, pemimpin-pemimpin seperti Jugah Barieng, Abang Openg, Datuk Bandar Abang Mostapha dan Ling Beng Siew telah menandatangani perjanjian untuk menubuhkan Malaysia,” katanya lagi.

Malaysia yang ditubuhkan itu tegasnya, masih wujud hari ini dan akan terus menjadi milik kita bersama pada masa depan.

“Kita tidak akan berpisah dengan Malaysia! Tetapi kita tidak boleh ambil mudah. Sarawak bukan bertaraf negeri di dalam persekutuan ini kerana Malaysia dilahirkan berdasarkan kuasa perjanjian dan bukannya melalui ‘pengilhakan’ atau penambahan.

Kerana itu kata Adenan, negeri ini bersetuju untuk meraikan tarikh 22 Julai sebagai Hari Sarawak, sebagai mengingati perjuangan dan keputusan penting yang dilakukan pemimpin-pemimpin besar ini dengan menyertai Malaysia.

Dalam ucapannya juga, Adenan turut mengulangi keputusan kerajaan negeri untuk tidak mahu bangsa Bumiputera yang bukan Melayu seperti kaum Iban, Bidayuh, Orang Ulu malah Kadazan sekali pun dipanggil sebagai ‘lain-lain’, sebaliknya digantikan dengan ‘Dayak’.

“Kita tidak mahu kaum yang sedia ada ini dibeza-bezakan kerana Sarawak merupakan negeri yang digelar sebagai “bersatu dalam kepelbagaian”.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden DCCI Datuk Joseph Salang Gandum dan Presiden KCCI, Bonipasius Bianis. – Sarawakvoice.com