KUALA LUMPUR: Pemuda Pas membantah penganjuran konsert ‘Selena Gomez-The Revival Tour’ yang akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam pada 25 Julai ini.
Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Hafez Sabri mendakwa kemunculan penyanyi seksi dari Barat itu mencemarkan kemuliaan Syawal.
“Kemunculan artis kelahiran Amerika yang sinonim dengan penampilan seksi ini adalah mencemarkan kemuliaan bulan Syawal yang sedang diraikan dengan penuh rasa kesyukuran dan keinsafan oleh umat Islam dan menghidupkan lagi budaya hedonisme dalam kalangan generasi muda di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihaknya turut melahirkan rasa kesal berikutan kebenaran penganjuran pihak berkuasa kepada pihak penganjur konsert tersebut.
Katanya, kerajaan sepatutnya merujuk terlebih dahulu Garis Panduan Hiburan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kerajaan sepatutnya merujuk dan menguatkuasakan garis panduan yang diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun lalu (untuk kelulusan sebarang penganjuran konsert),” tambahnya.
Beliau berharap Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dapat mengeluarkan kenyataan bantahan atau surat rasmi bagi menyekat kehadiran Selena Gomez yang jelas boleh merosakkan aqidah, ibadah dan akhlak umat Islam.
“Kerajaan atau pihak berkuasa pula sepatutnya perlu lebih tegas dan cermat sebelum meluluskan sesuatu penganjuran konsert,” katanya sambil menambah adalah menjadi keutamaan dan tanggungjawab Pemuda Pas untuk memastikan tidak wujud unsur-unsur yang tidak sesuai.
Gomez, berusia 24 tahun dijadual mengadakan persembahan di Shah Alam pada 25 Julai sebelum mengadakan persembahan di Singapura pada 27 Julai. – Sarawakvoice.com