Friday, December 2, 2022

DAP: DBKL tidak harus naikkan caj letak kereta

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak seharusnya menaikkan kadar caj tempat letak kereta di seluruh lokasi di ibu kota kecuali selepas projek Mass Rapid Transit (MRT) siap dan beroperasi sepenuhnya.

Lim Lip Eng“DBKL sepatutnya menunggu sehingga projek MRT siap dan beroperasi buat seketika sebelum kenaikan harga caj tempat letak kereta dilaksanakan,” kata Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan.

Menurut Lim Lip Eng, impak pembinaan MRT yang dijangka  mengurangkan masalah lalu lintas teruk di ibu kota wajar diteliti sebelum apa-apa keputusan mengenai kenaikan tersebut diputuskan pihak DBKL.

“Kalau mahu naikkan caj dengan alasan bahawa caj berkenaan sudah lama tidak dinaikkan, naiklah dengan kadar 20 peratus dan bukannya 200 peratus. Kadar kenaikan seumpama itu adalah terlalu drastik dan membebankan,” katanya seperti dipetik Roketkini.

DBKL menaikkan kadar caj tempat letak kereta miliknya di beberapa lokasi tumpuan di ibu kota sebanyak 150 peratus berkuat kuasa Isnin.

Kenaikan RM2.00 bagi jam pertama daripada RM0.80 sebelumnya itu melibatkan lokasi-lokasi tumpuan komersial antaranya Bukit Bintang, Bangsar, Bukit Damansara, Taman Tun Dr Ismail, Desa Hartamas dan Solaris Mont Kiara.

Manakala kawasan di luar pusat bandar dan pinggir bandar masing-masing akan mengalami kenaikan sebanyak 200 peratus dan 100 peratus berkuatkuasa 1 Ogos.

Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, tindakan DBKL itu  tidak munasabah dan jelas membebankan rakyat, malah bakal mencetuskan situasi peniaga di sekitar kawasan yang terlibat menaikkan harga barangan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz dilaporkan berkata meskipun keputusan itu dilihat tidak popular, kenaikan seumpama itu wajar dilaksanakan untuk mengatasi kesesakan trafik di Kuala Lumpur.

Katanya,  kira-kira 50,000 kereta baharu didaftarkan di KL setiap bulan dan pelaksanaan kenaikan kadar caj parkir berkenaan diharap dapat menggalakkan sekurang-kurangnya sejuta pemandu solo, mempertimbangkan kaedah menaiki pengangkutan awam atau berkongsi kereta ke pejabat. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru