Adenan tidak gembira Kementerian Pelajaran gagal tangani pelbagai isu di Sarawak

0
3

SRI AMAN: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem semalam sekali lagi membidas Kementerian Pelajaran kerana gagal menangani isu-isu pendidikan di negara ini biarpun Malaysia telah 53 tahun merdeka.

Menurutnya, isu sekolah daif dan usang masih berkumandang, walhal pelbagai inisiatif telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini untuk meningkatkan taraf pendidikan di negara ini.

“Saya tidak gembira dengan perkembangan ini. Setelah 53 tahun merdeka, masih banyak isu sekolah daif di seluruh negeri Sarawak.

“Terutamanya di kawasan luar bandar, banyak sekolah yang tanpa kemudahan asas seperti bekalan elektrik atau bekalan air bersih.

“Pada masa yang sama, banyak sekolah yang kekurangan kemudahan prasarana asas sambil sesetengahnya tidak dapat dihubungi dengan laluan darat,” katanya sewaktu merasmikan Konvensyen Pengurusan Pendidikan Pengetua-Pengetua Sekolah Sarawak ke-51 di sini.

13781793_1120752044650969_977201775074905532_n

Kerana masalah itulah kata Ketua Menteri lagi, kerajaan negeri terpaksa ‘masuk campur’ dan mengetepikan beberapa beberapa ‘bajet khas’ untuk mengatasi masalah fizikal sekolah-sekolah di negeri ini.

“Ternyata kita tidak boleh bergantung harap semata-mata kepada rakan sejawat daripada Kerajaan Persekutuan.

“Selepas abad setengah, kita masih ketinggalan dalam kemudahan pendidikan… dan ini tidak boleh diterima. Kita harus setanding dengan Semenanjung,” tegasnya.

Menurutnya, beliau memahami tanggungjawab untuk membina kemudahan dan infrastruktur bukanlah sesuatu yang mudah, namun selepas lebih 50 tahun, Sarawak patut memperoleh sekolah yang setanding dan setara dengan Semenanjung.

“Malangnya, kita masih mempunyai sekolah-sekolah yang ‘terhumban ke dalam sungai’ dan pelajar-pelajar yang pergi ke sekolah dengan berjalan kaki,” ujarnya lagi.

Kerana itulah kata Adenan, kerajaan negeri tidak akan lagi bertolak ansur, sebaliknya akan bertindak tegas dengan kerajaan persekutuan apabila berkaitan pelaksanaan dasar pendidikan di Sarawak.

“Kegagalan pembuat dasar di Putrajaya yang sering menukar keputusan telah menghalang perkembangan pendidikan di negara ini.

“Sentiasa berlaku perubahan yang berterusan dari segi dasar-dasar dan ini menyebabkan pelajar, malah pendidik keliru,” katanya.

Keputusan “flip-flop” ini katanya, jelas menjejaskan pelaksanaan kualiti dan pertumbuhan fizikal pendidikan di negara ini sejak 50 tahun yang lalu.

“Misalnya penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik. Setiap kali seseorang menteri baharu mengambil tanggungjawab sebagai Menteri Pelajaran, akan ada program baharu dicipta.

“Menjadi kesilapan yang besar apabila kita menurunkan taraf penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan, walhal kita boleh mempunyai kedua-duanya sekali gus,” katanya lagi.

Sarawak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang telah mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua, selepas bahasa Melayu.

Pendidikan merupakan salah satu agenda yang dibincangkan dalam proses penurunan kuasa daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri Sarawak, terutamanya berkaitan penempatan guru. – Sarawakvoice.com