Friday, December 2, 2022

Abang Johari enggan terbabit polemik Hari Sarawak, perjelas inti pati Nine Cardinal Principles dalam Perlembagaan 1941

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg hari ini memberitahu beliau enggan terheret dalam polemik yang mempertikaikan kewajaran kerajaan mengisytiharkan 22 Julai sebagai “Hari Sarawak”.

Menurutnya, perdebatan seperti itu tidak akan berakhir kerana masing-masing mempunyai pandangan dan tafsiran.

“Jadi biarlah ahli-ahli sejarah membincangkannya. Yang penting kita meraikan sambutan Hari Sarawak ini sebagai hari penting dalam sejarah pentadbiran negeri,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Sarawak di Tebingan Kuching, pagi tadi.

Ditanya mengenai penerbitan gazet yang memaklumkan tarikh tersebut sebagai hari “kemerdekaan Sarawak”, Abang Johari berkata, penggazetan itu akan diubah kelak.

“Apa juga pandangan, apa jua tafsiran, yang penting kuasa sudah berada di tangan kita. Itu yang paling utama,” tegasnya.

Sementara itu, ditanya tentang perlembagaan 1941 negeri Sarawak yang dipertikaikan oleh sesetengah ahli sejarah bagi merujuk usaha pentadbiran Brooke menyerahkan pentadbiran negeri ini kepada anak tempatan, Abang Johari berkata, perkara itu diulangi sendiri oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dalam ucapannya ketika merasmikan majlis sambutan Gawai-Kaamatan anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun di Kampung Budaya Sarawak baru-baru ini.

Katanya, salah satu daripada sembilan prinsip utama perlembagaan tersebut yang dikenali sebagai “Nine Cardinal Principles” ada menyebut tentang usaha untuk mempersedia anak negeri ini ke arah berkerajaan sendiri.

abg jo 1

“Malangnya perlembagaan yang dirangka pada September 1941 oleh Charles Vyner Brooke itu tidak sempat dilaksanakan kerana menjelang Disember tahun tersebut, Sarawak telah diserang oleh Jepun.

“Kerana itulah juga kita meraikan hari 22 Julai 1963, kerana pada tarikh ini, prinsip pentadbiran anak tempatan ini telah menjadi kenyataan,” katanya.

Sebelum ini di dalam laman sosial, ada pihak menuduh kenyataan Abang Johari berhubung usaha Brooke untuk memberikan kuasa pentadbiran kepada anak Sarawak itu sebagai mencelarukan fakta yang sedia ada.

“Fakta inilah yang dijadikan pegangan oleh kelompok yang menentang penjajahan, kerana mereka beranggapan pentadbiran Brooke berhasrat menyerahkan pentadbiran kepada kerajaan tempatan, dan bukannya menyerahkannya kepada Kerajaan Koloni British,” katanya.

Berhubung sambutan yang akan diadakan pada Jumaat ini, Abang Johari menjelaskan, satu visualisasi akan diadakan bagi menggambarkan pentadbiran negeri ini sejak tahun 1599 hingga 1842 di bawah pentadbiran Kesultanan Brunei.

“Ia diteruskan dengan era pentadbiran Brooke dari tahun 1842 hingga 1941 sebelum kemasukan Jepun, diikuti pentadbiran Koloni British dari tahun 1946 hinggalah kepada pembentukan Malaysia.

“Kita juga akan memberi sedikit tumpuan kepada peristiwa penting pada tahun 1963 itu termasuk hak-hak istimewa Sarawak yang dipersetujui sebelum membentuk Malaysia.

Perkara ini katanya, terkandung dalam persetujuan oleh Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang menjadi lampiran kepada Perjanjian Malaysia, yang salah seorang penandatanganinya adalah almarhum bapa Abang Johari sendiri, Abang Openg Abang Sapiee.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, yang juga anggota kabinet pertama Sarawak pada tahun 1963 dijangka akan hadir pada majlis sambutan itu, bersama-sama Adenan.

Ini merupakan tahun pertama Sarawak merayakan hari tersebut sebagai acara rasmi dan juga sebagai cuti umum negeri. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru