Monday, November 28, 2022

Persatuan Hokkien Kuching sepakat bersama JKKK Muara Tebas anjur Aidilfitri

Secara Rawak

KUCHING: Kesepakatan Persatuan Hokkien Kuching (PHK) untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Muara Tebas menganjur Ramah-Tamah Aidilfitri di Dewan Masyarakat Kampung Muara Tebas perlu dicontohi dan dibangga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, Demak Laut mempunyai keistimewaan tersendri kerana populasi penduduknya terdiri daripada latar belakang berbeza.

Bercakap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri pada Ahad itu, Dr Hazland memuji usaha murni JKKK Muara Tebas dan PHK menganjur majlis ramah-tamah tersebut.

Penganjuran program seumpama ini disifatkan oleh Dr Hazland sebagai perantaraan terbaik merapatkan silaturahim di antara kedua-dua pihak termasuk masyarakat setempat.

“Inilah keunikan kita di Demak Laut yang terkenal dengan dua masyarakat berbeza anutan, tetapi dapat menjalinkan kerjasama serta silaturahim yang baik sekali,” puji Dr Hazlan.

Pada majlis itu, Dr Hazland turut menyampaikan geran berjumlah RM5,000 kepada PHK serta memberi sumbangan kepada hadirin.

Turut hadir Presiden PHK Richard Wee Liang Chiat, Temenggung Liew Kim Yong dan beberapa ketua masyarakat setempat.

“Saya mengharapkan perpaduan dan keharmonian yang kita kecapi hari ini yang terbentuk sejak sekian lama dapat dikekalkan,” kata Dr Hazlan sambil menambah bahawa perpaduan merupakan kunci memastikan keharmonian terus terbentuk.

Sebelum ini, pada 2014 PHK pernah menganjurkan Majlis berbuka Puasa di Muara Tebas serta menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak sebagai tanda penghargaan persatuan.

Kedua-dua pihak juga bersama-sama Temenggung Lu Kim Yong dan Penghulu Fauzi pernah bersepakat menangani isu parkir kereta di Tokong Cina yang terletak di Kampung Muara Tebas

Persefahaman tersebut bersetuju membenarkan kontraktor menjaga parkir kereta bagi pelawat yang mengunjungi tokong di situ.

Di bawah jagaan kontraktor tersebut, setiap kereta dikenakan caj RM4 pada Tahun Baharu Cina dan RM2 pada hari biasa.

Tokong Cina di Muara Tebas mempunyai sejarah melebihi 100 tahun.

Pada musim perayaan, ramai kaum Cina melakukan ritual di tokong ini dengan penduduk kampung membantu menjaga kenderaan.

Penduduk pada masa sama juga berpeluang menjual cenderamata kepada pengunjung. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru