Wednesday, December 7, 2022

Jika marah, kecewa dengan parti lama, jangan susah, tubuhkan parti baharu

Secara Rawak

Langkah Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan-rakan beliau untuk menubuhkan parti baharu seperti yang diumumkan pada 15 Julai 2016 perlu diterima dengan hati terbuka dan dihormati  semua pihak.

Sejarah politik Malaysia menunjukkan penubuhan parti baharu bukanlah suatu yang luar biasa. Jika disorot ke belakang, kita dapati hampir saban tahun parti baharu diwujudkan sehingga nama sesetengah parti itu sukar kita ingat.

Dr Muhammad Asri Mohd Ali
Dr Muhammad Asri Mohd Ali

Parti Amanah Negara (PAN) mungkin dikenali oleh pengundi sebab baru sahaja ditubuhkan pada tahun lepas. Tetapi siapa ingat nama parti yang dipimpin oleh Tan Sri Nalla Karuppan? Apa nama parti Datuk Kadir Sheikh Fadzil? Siapa pernah dengar nama Parti Cinta Malaysia (PCM) dan di negeri mana PCM bertapak?

Barisan Nasional (BN) sendiri mempunyai 14 parti komponen dan hampir separuh daripadanya kita pun tidak tahu nama parti berkenaan. Pakatan Harapan (PH) kini mempunyai tiga parti, dan jika satu lagi parti diwujudkan, PH hanya ada empat parti sahaja.

Pentas politik pembangkang belum lagi sesak dan padat seperti di kem BN. Dengan itu, ada pihak barangkali berpendapat apalah salahnya jika satu lagi parti baharu diwujudkan dalam kem pembangkang.

Namun begitu, jika dihadapkan kedua-dua kem itu kepada pengundi, pentas politik Malaysia sememangnya telah padat dan penuh sesak. Itu belum lagi ditambah dengan penglibatan segala macam NGO (Pesaka, JMM, IKRAM, BERSIH, Jalur Tiga dan lain-lain) dan aktor yang menggerakkan media sosial.

Dari satu perspektif, pentas politik di Malaysia tidak ubah seperti bas mini yang menjadi ‘raja jalan’ di Kuala Lumpur pada tahun 80an dan awal 90an.

Pada waktu puncak, khususnya pada sebelah pagi dan petang bas mini akan diisi dengan penumpang seperti tin sadin, padat, berasak-asak dan riuh rendah dengan suara kondaktor meminta penumpang lain bergerak ke belakang atau memberi laluan kepada penumpang yang mahu turun.

Sebab itulah di Malaysia kita dapati isu-isu politik sentiasa hangat,  merimaskan dan ada kalanya mendebarkan. Aktornya terlalu banyak sehingga menyesakkan pentas yang agak kecil.

Walaupun bising dan memekakkan, lazimnya kebanyakan isu kekal menjadi isu tanpa penyelesaian. Salah satu sebabnya ialah aktor yang bercakap terlampau banyak, tetapi aktor yang ‘mendengar’ boleh dikatakan hampir tidak ada!

Dari perspektif demokrasi, kewujudan parti politik menandakan amalan demokrasi hidup subur dan diterima sebagai institusi untuk mengubah kepemimpinan secara aman.

Negara dan masyarakat akan menjadi stabil sekiranya nilai dan norma demokrasi telah menjadi sebahagian daripada sebagai budaya politik. Mungkin sebab itulah barangkali kita menikmati masa aman yang panjang (selepas 1969), kita berkelahi dalam kerangka dan norma yang dibenarkan oleh demokrasi.

Pengalaman kita menunjukkan bahawa setiap kali kita berkelahi, satu parti baharu akan ditubuhkan. Ini dapat dilihat pada zaman Dato Onn lagi.  Parti PAS sendiri misalnya, ditubuhkan kerana berlaku perkelahian dalam pemilihan UMNO!

Perkelahian dan konflik yang seterusnya berlaku dalam kedua-dua parti dominan Melayu iaitu UMNO dan PAS biasanya menetaskan pelbagai lagi – BERJASA, HAMIM, AKIM, PAN, S-46, Parti KeAdilan Nasional (kemudian menjadi PKR) dan sebuah parti yang bakal  ditubuhkan oleh Dr Mahathir sedikit masa lagi.

Dengan itu, pada masa hadapan kita kena bersedia dengan fenomena parti-parti kecil dengan bilangan yang lebih banyak lagi. Sebabnya mudah, konflik dan perkelahian tidak pernah reda dalam dunia politik. Acuan kita di Malaysia menunjukkan bahwa setiap kali berkelahi, sebuah parti akan menetas! – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru