Sunday, August 7, 2022

Yang aneh, lucu dan gila, gara-gara dipukau Pokemon Go

Secara Rawak

LOS ANGELES: Sepanjang dua minggu dilancarkan di Barat dan Eropah dan terkini di Timur Tengah, Pokemon Go amat meriuhkan.

Banyak kisah aneh, lucu dan gila tercetus di beberapa negara di dunia, gara-gara obses dan ketagihnya para pemain mengejar dan mengumpul Raksasa Saku (Pocket Monster) mereka untuk dibawa ke gelanggang “Gym” bagi beradu dan menguji kekuatan.

Pokemon, internet dan telefon pintar telah mencipta fenomena dan kegilaan baharu dunia permainan video.

Pokemon Go landa Timur Tengah

Selain di Barat, Eropah dan penjuru lain dunia, Pokemon Go melanda pemain di negara Timur Tengah seperti Lubnan, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu dan Mesir.

Menurut Al-Arabiya pada Khamis lepas, peminat Pokemon di Dubai, Beirut dan Kaherah turun di jalan raya semata-mata “gila” mencari dan menangkap raksasa virtual menggunakan telefon selular.

Pada masa yang sama, mereka melupakan fatwa yang mengharamkan watak serta permainan berasaskan Pokemon berkenaan kerana dianggap bercanggah dengan ajaran agama.

Pokemon dikatakan membawa pengaruh negatif seperti mengajar anak-anak berjudi, selain menampilkan simbol zionis.

Beberapa permainan Pokemon juga dianggap melalaikan dan menghabis masa serta menyebabkan gangguan psikologi terhadap kanak-kanak.

Cari Pokemen, gadis terjumpa mayat
Sebuah kisah di Riverton, Wyoming, AS, gadis bernama Shayla Wiggins,19, begitu teruja mengejar Pokemon hingga ke sungai.

Namun, Shayla bukannya menemui Pokemon, sebaliknya dia menemui mayat lelaki.

Ketika Pokemon Go mengarahkannya ke jambatan, dia terlihat sesuatu di dalam air.

“Setelah melihat dengan teliti untuk kali kedua, ternyata ia mayat lelaki,” kata Syala yang terus menelefon 911.

Pokemon Jynx disangka jin

Manakala, dalam kejadian yang sukar difahami di Oakville, Ontario, Kanada, Talha dan rakannya berlatih bersama di Gym Pokemon setempat ketika menghadiri kelas al-Quran pada hujung minggu.

Mereka membentuk sebuah kumpulan dinamakan Pokemadrassa di masjid mereka mengaji itu.

Mereka membincangkan semua hal berkaitan Pokemon sejak permainan itu dilancarkan.
Akhirnya dalam pencarian Pokemon, mereka menjumpai salah satu Pokemon bernama Jynx.

“Jynx ditemui sekitar 15 kaki jauhnya,” kata sahabat Talha, Haaris Siddiqui.

Mendengar perbualan mereka, Ustaz Faisal Nizam berfikir bahawa watak Jynx, Ice dan Psychic Pokemon merupakan makhluk jin sebenar.

Bahkan, dilaporkan Ustaz Faizal membaca ayat Kursi tanpa henti semenjak dia mengetahui tentang penampakan tersebut di kalangan pelajarnya.

Selain itu, Pokemon lain yang ditemukan di sekitar masjid ialah Koffing di bilik kecil dan Jigglypuff yang terlihat di pejabat Ustaz Faizal.

Akhirnya, setelah Ustaz Faisal mengetahui Pokemon Go hanya permainan video dan bukan makhluk jin, beliau sangat kesal.

Merasakan hal tersebut sebagai satu gangguan, Ustaz Faisal menyampaikan ceramah tentang bahayanya kecanduan permainan video.

Eksploit Pokemon Go untuk rompak pemain

Di St Louis, berlaku jenayah rompakan terhadap pemain video oleh empat pelaku berusia 16 hingga 18 tahun.

Petugas polis Bill Stringer di Missouri menjelaskan, perompak menggunakan aplikasi Pokemon Go untuk mengarah agar para pemain ke lokasi terpencil yang sunyi.
Di situ mereka menjalankan operasi merompak mangsa.

Keempat-empat pelaku kemudiannya berjaya ditangkap polis setempat.

Tertuduh dikenakan denda AS$100,000 seorang.

Menurut The Guardian Isnin lepas, polis mengatakan fitur Geolocation yang terdapat pada Pokemon Go memudahkan penjenayah menggoda pemain.

Serbu balai polis cari Pokemon

Di Darwin, pejabat polis diserbu pemain semata-mata mahu mencari Pokemon.

Untuk mendapatkan semua koleksi Pokemon di Pokédex, beberapa pemain Pokemon Go tanpa segan melakukan perbuatan mengganggu kententeraman awam.

Mereka mahu mendapatkan Poké Ball di tempat yang dianggap sebagai PokéStop itu.
Pejabat polis Darwin jadi popular kerana di situ juga terdapat Pokemon Shandsrew.

Melalui Facebook rasminya, polis Darwin mengingatkan para Trainer agar mematuhi peraturan di alam nyata demi keselamatan pemain.

Pembaca berita diganggu rakan cari Pokemon

Baru-baru ini, pembaca berita cuaca di stesen televisyen, WTSP Florida diganggu rakan sekerjanya yang sibuk mencari Pokemon, ketika stesen TV itu bersiaran langsung.

Pembaca berita cuaca, Bobby Deskins ketika membaca laporan cuaca, Isnin lalu terkejut apabila rakannya, Allison Kropff yang juga pembaca berita, berjalan di hadapan kamera ketika bersiaran langsung.

Kropff teruja mengutip Pokemon sehingga berjalan melepasi studio berkenaan tanpa disedari.

Deskins yang terkejut dengan tindakan rakannya itu terus menangani situasi berkenaan dengan cara profesional.

“Dia mencari Pokémon!” kata Deskins dalam nada lucu.

Dia kemudian memberitahu orang ramai, “anda perlu lebih berhati-hati dengan Pokémon ini.

Dipecat kerana mengeluh cari Pokemon

Lelaki Australia dipecat selepas mengeluh video Pokemon Go tidak dapat diakses di Singapura.

Sonny Truyen melontarkan keluhan dipenuhi kata-kata kesat di Facebook mengatakan Singapura sebagai tempat tidak menyenangkan untuk hidup kerana permainan Pokemon Go belum dapat diakses.

Dia menulis Singapura penuh dengan “orang bodoh” dan IQ nasional negara tersebut akan menurun.

Dia kemudiannya dipecat apabila anggota forum memberitahu syarikat tempatnya bekerja, 99.co berkaitan tulisannya di Facebook itu.

USA Today melaporkan dua lelaki cedera parah setelah terjatuh dari tebing utara San Diego ketika sibuk bermain Pokemon Go pada Khamis lepas di Los Angeles.

Mereka terjatuh sekitar 15 ke 24 meter.

Bomba terpaksa menghulurkan tali untuk menarik mereka naik.

Memburu Pokemon sehingga memasuki kuburan

Di Georgia, wanita yang sibuk menjejak Pokemon pada malam hari terperangkap di tapak perkuburan.

Ketika di hadapan tapak perkuburan, pintu gerbang masih terbuka sehingga dia tidak ragu memasukinya untuk mengejar Pokemon seperti arahan GPS.

Namun ketika hendak keluar, dia menyedari pintu tapak perkuburan telah ditutup.

Dia menangis kerana ketakutan lalu memanggil 911 untuk datang membuka pintu.

Boleh main Pokemon Go, tetapi harus bijak memisahkan dunia realiti dengan dunia maya! – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru