SARIKEI: Seorang lelaki maut dirempuh oleh kenderaan pacuan empat roda di kawasan Simpang Bayong Jalan Sarikei hari ini.

Mangsa Lawrine anak Song berbangsa Iban, berumur 49 tahun maut serta-merta di tempat kejadian akibat rempuhan.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu lori yang digunakan mangsa dan rakan sebelum itu terlibat dalam kemalangan kendiri.

Lori mangsa yang terlibat kemalangan kemudian ditarik ke tepi jalan.

Mangsa dan rakannya pula sedang mengemas barangan yang terkeluar dari lori akibat kemalangan.

Ketika sedang mengemas barang-barang secara tiba-tiba sebuah kenderaan pacuan empat roda hilang kawalan dan telah merempuh mangsa.

Rakan mangsa bagaimanpun berjaya berlari menyelamatkan diri daripada terkena rempuhan.

Menurut kad pengenalan mangsa, mangsa beralamat di RPR Kidurong Fasa III, Tanjung Kidurong Bintulu.

Mayat mangsa kini berada di Hospital Sarikei untuk urusan seterusnya.

Pemandu pacuan empat roda yang turut mengalami kecederaan kini dirawat di Hospital Sarikei. – Sarawakvoice.com