BINTULU: Seorang anggota bomba terpaksa dirujuk ke Hospital Bintulu semalam setelah tertusuk jarum suntikan ketika hendak mengeluarkan seorang mangsa kemalangan jalan raya daripada tersepit.

Dalam kejadian sekitar 9.50 malam itu, anggota terbabit tiba ke lokasi kemalangan , berhampiran Pelabuhan Bintulu, Jalan Kidurong bersama-sama tujuh anggota lain setelah menerima laporan mengenai kemalangan yang melibatkan sebuah kereta Proton Saga dan Proton Exora.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, terdapat tiga mangsa sedang terperangkap dalam ketiga-tiga kenderaan itu.

“Dua daripada mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

“Pasukan kita yang hadir kemudian berusaha mengeluarkan seorang lagi mangsa yang tersepit.

“Ketika mangsa hendak diserahkan kepada pasukan paramedik setelah dikeluarkan, berlaku sedikit rontaan pada mangsa yang mengakibatkan picagari yang dipegang anggota paramedik tertusuk kepada anggota kita yang dikenali sebagai Jimmy Rayang.

“Ketiga-tiga mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut manakala Jimmy, turut dihantar ke hospital yang sama bagi pemeriksaan lanjut, dan dilaporkan stabil.

Mangsa di dalam kenderaan Proton Saga kemudian dikenali sebagai Ezan Rambli, 27 tahun dan Md Narizam Md Sarip , 34 tahun manakala pemandu Proton Exora dikenali sebagai Weilson Raymond Atan, 20 tahun.

Kesemua mangsa juga dilaporkan stabil. – Sarawakvoice.com