Sunday, December 5, 2021

Adenan perlukan RM500 juta bangunkan prasarana Lundu, Sematan

Secara Rawak

LUNDU: Setelah mendapat mandat memerintah lima tahun lagi melalui Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) yang lalu, kini Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sedia menunaikan janji, antaranya membangunkan kawasan luar bandar.

“Tahun baru saya akan mencari RM500 juta lagi untuk pembangunan luar bandar termasuk di Lundu, Sematan dan sebagainya,” kata Adenan semasa berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Ramah-Tamah Aidilfitri di Dewan Masyarakat Lundu, Sabtu, malam.

13754374_1017344005031224_8737628191664654618_n

Menurut Adenan yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri N3 Tanjung Datu pada PRN11 yang lalu, kawasan luar bandar memerlukan perhatian dan penekanan lebih kerana luar bandar jauh ketinggalan berbanding bandar.

Adenan berkata, hasratnya mendapatkan peruntukan RM500 juta bertujuan melaksanakan projek pembangunan luar bandar dengan harapan pembangunan ini dapat merapatkan jurang perbezaan antara bandar dengan luar bandar.

Sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Adenan bagi kawasan yang diwakilinya sebelum ini, beliau mahu melihat kawasan Lundu membangun dan maju seperti Kota Samarahan.

Adenan membayangkan hasratnya itu tercapai sebelum tempoh persaraanya sebagai Ketua Menteri.

“Saya meneruskan khidmat saya selagi boleh kerana akan tiba masanya kita akan memilih orang lain.

“Saya mahu Lundu, Sematan maju seperti mana yang telah saya lakukan di Muara Tuang,” ujar Adenan lagi.

Adenan menyandang kerusi Tanjung Datu sejak PRN 2006. Sebelum ini, beliau merupakan ADUN Muara Tuang sejak pilihan raya kecil 1979.

Adenan menjelaskan antara projek pembangunan dilaksanakan di DUN Tanjung Datu ialah Lebuh Raya Pan Borneo, tebingan laut dan sungai serta projek prasarana lain.

“Sebelum berhenti, saya mahu semua kawasan di Lundu sudah ada jalan raya, bekalan elektrik dan air,” tekad Adenan lagi.

Di majlis tersebut, Adenan sempat mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak kerana menyokong Barisan Nasional dan memberi kepercayaan kepadanya untuk terus memimpin Sarawak. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru