Monday, January 24, 2022

Remaja 14 tahun melayang ke udara sebelum maut terhempas di pokok di Jalan Patingan

Secara Rawak

KUCHING: Keghairahan dan keseronokan menunggang motosikal oleh dua pelajar tingkatan dua selepas pulang dari sekolah sesi petang di sini bertukar tragedi, apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Jalan Patingan, dekat sini lewat petang semalam.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Alexson Naga, ketika memgesahkan kejadian berkata, insiden terbabit berlaku pada sekitar jam 6.45 petang.

“Menurut saksi mangsa dan rakan sedang memecut laju di laluan lurus jalan tersebut, sebelum menyedari sebuah kenderaan yang datang dari arah yang sama sedang memasuki selekoh sebuah rumah, yang terletak di kiri jalan.

“Dalam keadaan yang hampir gelap itu, mangsa gagal mengawal kenderaan lalu merempuh kenderaan tersebut.

“Impak rempuhan menyebabkan kedua-dua mangsa melayang ke udara sebelum terhempas pada sebatang pokok di pinggir jalan tersebut.

Alexson berkata, mangsa yang kemudian dikenal pasti sebagai Nur Azam Osman,14 tahun, dari Kampung Bintangor dekat sini, maut serta-merta, selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

“Manakala rakan mangsa turut cedera sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak oleh pasukan paramedik,” katanya ketika dihubungi sarawakvoice.com.

Menurut Alexson lagi, siasatan awal mendapati mangsa tidak menggunakan topi keledar ketika kejadian, selain menunggang tanpa lesen yang sah.

Polis katanya, mengklasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat, sebelum dituntut keluarga. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru