Tuesday, October 4, 2022

Pemuda PAS  bertegas tidak mahu pawagam dibuka di Kelantan

Secara Rawak

KOTA BHARU: Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang berhasrat membuka semula pawagam di negeri ini kerana tidak sesuai dengan imej negeri itu sebagai gedung ilmu.

Pendirian itu juga penting bagi mengelakkan kesuburuan gejala sosial.

Ahmad Fadhli ShaariAhmad Fadhli berkata kewujudan pawagam dibimbangi menggugat status quo pentadbiran negeri di bawah acuan Membangun Bersama Islam.

“Dikhuatiri kewujudan pawagam boleh mengundang pelbagai masalah dan kebejatan sosial semakin buruk,” katanya seperti dipetik Harakah Daily.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerah memorandum membantah cadangan membuka pawagam di pasar raya tertentu di negeri ini.

Pemuda PAS, katanya, mahu Kelantan kekal dengan keadaan sekarang tanpa memerlukan sebuah pawagam untuk golongan muda.

Memorandum itu diserah kepada Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Hadir sama Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Nor Azariza Mohd Alawi dan anggota jawatankuasanya.

Sebelum ini ada pasar raya menyediakan ruang khas bagi mewujudkan pawagam dan hanya menunggu kelulusan kerajaan negeri. Ruang itu termasuk di kompleks membeli belah KB Mall.

Pawagam pernah beroperasi di Kelantan tetapi ditutup pada 1990-an selepas gagal mengikuti garis panduan di bawah Enakmen Kawalan Hiburan 1998.

Sementara itu Menteri Besar berkata, pihaknya sehingga sekarang belum menerima apa-apa permohonan bagi mewujudkan pawagam di Kelantan.

Beliau berkata sebenarnya banyak syarat yang perlu dipatuhi termasuk tidak boleh mewujudkan suasana romantik dalam kalangan penonton.

“Ada baiknya tidak payah ada pawagam,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru