MUAR : Seorang pekerja pusat hiburan dihukum penjara 18 tahun dan satu bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana menyebabkan kecederaan dan kematian rakan sekerjanya tiga tahun lalu.

Sah Chin Chong, 30, dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Pesuruhjaya Kehakiman  Muhammad Jamil Hussin setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian seorang lelaki berumur 37 tahun, Chow Chin Wei di Kluang, Johor.

Bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 334 Kanun Keseksaan, Sah dikenakan hukuman penjara sebulan setelah didapati bersalah mendatangkan kecederaan kepada rakan sekerjanya Wong Ren Kect, 30.

Muhammad Jamil berkata, mahkamah membuat keputusan sewajarnya setelah mengambil kira kepentingan kepada masyarakat awam dan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh.

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes itu, manakala pihak peguam bela berjaya membuktikan kes itu berunsur provokasi.

Chin Chong sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat namun dipinda kepada 304 kanun yang sama menyebabkan kematian, manakala bagi pertuduhan kedua, daripada Seksyen 324 kepada Seksyen 334 kanun yang sama.

Muhammad Jamil memerintahkan tertuduh menjalani hukuman 18 tahun penjara bagi pertuduhan pertama dan satu bulan penjara bagi pertuduhan kedua secara berasingan dari tarikh tangkapan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan di sekitar Jalan Langsat bersebelahan Pusat Beli Belah Song Mart, Kluang antara pukul 4 petang hingga 5.30 petang pada 19 Feb 2013.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal manakala tertuduh diwakili peguam, Lim Sey Wee. – Bernama