22 Julai dikenali sebagai Hari Sarawak, bukan Hari Kemerdekaan Sarawak

0
41

KUCHING: Bukan hari kemerdekaan Sarawak, tetapi sambutan “Hari Sarawak”.

Itu penjelasan yang diberikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berhubung sambutan 22 Julai yang diisytihar cuti umum bermula tahun ini.

Beliau yang bertanggungjawab terhadap sambutan itu berkata, tarikh tersebut diraikan sebagai mengingati hari Sarawak mula dibebaskan daripada cengkaman penjajah Koloni British pada tahun 1963, dengan pentadbiran negeri diuruskan oleh anak Sarawak sendiri.

“Ketika ini Ketua Setiausaha Kerajaan telah menyerahkan kuasa eksekutif kepada kabinet baharu yang ditubuhkan pada 22 Julai oleh Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.

” Antara ahli kabinet Sarawak ketika itu termasuklah Yang di-Pertua Negeri Sarawak sekarang, Tun Abdul Taib Mahmud.

abg jo hari swak_0001Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu lagi,  sambutan rasmi yang julung kali diadakan ini akan berlangsung di Tebingan Kuching bermula jam 8 pagi.

“Pelbagai aktiviti serta pameran akan diadakan semasa sambutan itu nanti.

“Antaranya termasuklah visualisasi mengenai sejarah Sarawak, sejak pemerintahan Sultan Brunei pada tahun 1599 hingga 1842, diikuti pentadbiran Brooke dari tahun 1842 hingga Perang Dunia Kedua.

“Ia diteruskan dengan segmen  pemerintahan Koloni British dari tahun 1946 hingga kepada kemerdekaan Sarawak pada tahun 1963.

Mengulas sambutan ini, beliau berkata, sebagai rakyat negeri Sarawak, tarikh ini sangat penting untuk diingati kerana pada hari itulah negeri ini ditadbir oleh anak Sarawak sendiri.

“Kalau kita melihat perlembagaan 1841 di bawah pemerintahan Brooke, memang suatu ketika nanti Brooke akan menyerahkan kuasa kembali kepada rakyat Sarawak.

“Dan ia menjadi realiti pada 22 Julai 1963 ,” tambahnya, yang ditemui pada mesyuarat terakhir sempena persiapan sempena sambutan tersebut. – Sarawakvoice.com