Wednesday, June 29, 2022

Selepas kalah kes Laut China Selatan, apa lagi China mahu?

Secara Rawak

Mahkamah Tetap Timbang tara (PCA) di The Haque, Belanda, kelmarin memutuskan China tidak mempunyai hak sejarah terhadap Laut China Selatan.

Dalam keputusan bersejarah itu, ia memutuskan China tiada hak mengikut sejarah terhadap perairan yang kaya dengan sumber di Laut China Selatan itu.

Ia juga mendapati China tiada alasan menurut undang-undang untuk menuntut hak terhadap sumber di kawasan terbabit  atas alasan ia berada dalam garisan sembilan sempang.

Dalam satu kenyataannya, Mahkamah Timbang Tara  menyatakan China tidak punya asas undang-undang untuk menuntut hak sejarah terhadap kawasan perairan itu di dalam lingkungan sembilan sempang yang dikemukakannya.

“Tiada asas perundangan untuk China mendakwa hak bersejarah mengenai sumber kekayaan di kawasan laut yang dipertikaikan itu sebagai milik mereka,” menurut kenyataan mahkamah.

China berkata ia tidak menerima atau mengiktiraf keputusan tribunal berkenaan yang diadakan atas permintaan Filipina dan menganggap keputusan itu sebagai sepihak  sahaja.

Kini, Laut China Selatan, sudah menjadi medan pertikaian, rebutan dan tuntutan bertindih China, serta beberapa buah negara ASEAN. Untuk beberapa dasawarsa, konflik tajam berlaku antara negara terbabit, khususnya dengan China.

China untuk sekian lama menuntut sebahagian besar Laut China Selatan. Negara 1.3 bilion penduduk itu mengukuhkan tuntutannya di rantau ini dengan projek membangunkan pulau buatan di lebih 1,170 hektar tanah sejak 2013.

Malah, Amerika dituduh mahu dapatkan hegemoni maritim apabila semacam memberi amaran kepada China supaya tidak melampau dalam tindakannya.  Bagi sebahagian negara ASEAN, AS menjadi abang besar yang dapat melindungi kepentingan mereka. Tetapi tidak kurang juga ada negara anggota yang memihak kepada China, lebih kerana kepentingan ekonomi.

Pertikaian perlu ditangani dengan kepala dingin, kebijaksanaan, dan tindakan yang terkawal, dan bukannya kekerasan, lebih-lebih lagi apabila gajah dengan gajah bertembung, pelanduk akan mati terpijak.

beting patinggi ali

Permainan dua kuasa besar itu benar-benar menyulitkan Malaysia, Vietnam, Kemboja, Filipina, dan Brunei. Sekitar 500 juta penduduk negara terbabit tinggal di pesisiran pantai Laut China Selatan.

Tindakan kekerasan menggunakan kuasa ketenteraan bukan jalan penyelesaian terbaik, kerana akhirnya, kalah jadi abu, menang jadi arang. Justeru, Deklarasi Tatacara Pihak Terbabit di Laut China Selatan wajar dihormati. Segala penyelesaian hendaklah menepati peraturan digariskan di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Mengapakah kawasan itu menjadi rebutan? Selain keluasan lautnya untuk tujuan pelayaran, kawasan terbabit juga kaya dengan minyak dan pelbagai spesies ikan, termasuk tuna.

Pada awal dekad lepas, sebanyak hampir sejuta tan diperoleh dari laut terbabit, dan pada 2009 melonjak kepada 1.9 juta tan – mewakili 14 peratus daripada jumlah ikan ditangkap di Asia Tenggara.

China dianggap  oleh negara berkepentingan bersikap agak berlebihan dalam tuntutannya. Contoh terbaik, apa justifikasi negara itu untuk menuntut kawasan di sekitar Beting Patinggi Ali,terletak 84 batu nautika dari Miri?

Pendekatannya membiarkan kapal pengawal pantai ke kawasan yang melangkaui sempadan kelautannya, meresahkan negara terbabit. Sesungguhnya, demi kestabilan di rantau ini, dan juga kedamaian dunia, pertelagahan dan persengketaan membabitkan Laut China Selatan, wajar segera diselesaikan dengan kebijaksanaan.

Jika tidak, kita tidak boleh mengelak akan tercetus konflik yang memungkinkan berlakunya krisis diplomatik dan ketenteraan, malah konfrontasi antara dua kuasa besar.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata Malaysia percaya semua pihak berkaitan mampu menyelesaikan pertikaian secara aman dengan menghormati sepenuhnya proses diplomatik dan perundangan serta undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa (UNCLOS) 1982.

Malaysia mahukan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan dan percaya China dan semua pihak yang berkaitan boleh mencari cara terbaik untuk mengadakan dialog yang sihat dan rundingan sambil menegakkan kedaulatan undang-undang untuk keamanan dan keselamatan di rantau ini. – Sarawakvoice.com

kapal cina traditional

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru