Wednesday, June 29, 2022

Perlukah kita tunjuk perasaan setiap kali tak setuju dengan kenyataan pemimpin politik?

Secara Rawak

Gara-gara isu kartun kontroversi berkaitan permintaan “dedak”  pada hari raya, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dipanggil memberikan kenyataan oleh Bukit Aman, Isnin depan.

Nga dikritik dan dibidas pelbagai pihak, terutama pemimpin UMNO. Dan menyifatkannya tidak menghormati Islam ekoran dua status Facebook pada hari raya puasa lalu.

Tetapi Ahli Parlimen DAP Taiping itu menafikan telah melukis dan memuat naik gambar tersebut.

Untuk itu, Nga membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Ipoh, dan mendakwa beliau menjadi mangsa fitnah dalam isu itu.

Kelmarin, Pemuda Umno dan kumpulan anti-DAP berbaju merah memprotes di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.

Dalam demonstrasi  itu keadaan kecoh apabila berlaku tolak menolak antara peserta perhimpunan dengan anggota polis. Mereka  dikatakan turut berteriak, “Bangkit Melayu”

Malah, mereka turut melemparkan “duit neraka” ke arah bangunan parti itu.

Dalam budaya dan adat Cina, duit neraka dibakar sebagai persembahan kepada nenek moyang si mati.

Apa perlunya semua demonstrasi itu? Adakah hendak tunjukkan siapa lebih kuat?  Dan, apa perlunya duit neraka itu? Mahu sumpah supaya parti DAP mati?

Justeru, tidak hairanlah Biro Keharmonian Agama MCA telah membidas kumpulan baju merah berkenaan kerana buat kecoh di hadapan ibu pejabat DAP, dan menyifatkannya sama teruk  dengan kumpulan pengganas IS.

Pengerusinya Datuk Seri Ti Lian Ker  dalam satu kenyataan mahu tindakan segera diambil terhadap penunjuk perasaan itu, yang mengambil tindakan “melampau”, dengan  menyemarakkan api perkauman.

umm

Menurut beliau, mereka tidak lebih baik daripada IS, dan seharusnya diambil tindakan serupa.

Memang, tidak ada sesiapa yang berada di atas undang-undang. Semua pihak perlu menghormati undang-undang.

Sama sekali tidak ada justifikasi bagi mana-mana pihak, walau daripada parti terbesar negara untuk bertindak sesuka hati seolah-olah rakyat lain tidak berhak di negara ini.

Apatah lagi, jika mereka sudah bertindak melampau tanpa mempedulikan sentimen etnik lain.

Emosi tidak harus menguasai kewarasan.

Sebarang tindakan perlu difikirkan implikasinya, lebih-lebih lagi jika ia mendatangkan kesan buruk dari segi hubungan etnik dan keharmonian di negara ini.

Kelmarin, sekitar 150 orang ahli UMNO berdepan anggota polis di hadapan ibu pejabat Dap di Kuala Lumpur.

Mereka mahu menyerahkan memorandum kepada DAP sebagai protes terhadap Nga. Tetapi kalau hendak serahkan memorandum, mengapa perlu kumpul sehingga lebih 100 orang? Tidak dapatkah hantar memorandum kalau lima orang atau 10 orang?Apa perlunya sampai ajak 150 orang?

Ke mana arah negara ini kita hendak bawa setiap kali apabila tidak setuju atau marah dengan kenyataan seseorang pemimpin, kita protes dan tunjuk perasaan? – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru