Friday, August 19, 2022

Manfaatkan biodiversiti 130 juta tahun Sarawak untuk hasilkan penawar penyakit — Adenan

Secara Rawak

SAMARAHAN: Dengan sumber biodiversiti berusia lebih 130 juta tahun, Sarawak memiliki kekayaan alam semula jadi yang begitu bernilai tinggi.

Kekayaan dan kepelbagaian flora fauna ini, menurut Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem harus diperguna sebaiknya oleh penyelidik tempatan bagi menghasilkan pelbagai produk berasaskan alam semulajadi, terutamanya yang berkait dengan penawar kesihatan.

“Saya yakin dengan kekayaan dan kepelbagaian biodiversiti ini, Sarawak akan menjadi negeri yang berpotensi sebagai pengeluar produk-produk kesihatan, termasuk yang berkaitan antibiotik dan antikanser.

“Terdapat banyak sumber semulajadi yang boleh kita kaji untuk dijadikan produk-produk ini.

“Hutan kita masih luas dan ia menyediakan banyak sumber semulajadi yang boleh dimanfaatkan sebagai prnawar,” katanya ketika merasmikan Bangunan Penyelidikan Biodiversiti Integrasi dan Produk Lita Sara di Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) di Jalan Puncak Borneo, di sini semalam.

Adenan yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar berkata, para penyelidik di negeri ini perlu bergerak lebih agresif dan memanfaatkan kepelbagaian spesies tumbuhan dan hidupan liar yang ada untuk dikaji faedahnya, terutama untuk tujuan perubatan.

“Negeri ini tidak harus berterusan menjadi ‘pembekal bahan asas’ bagi penghasilan sesuatu produk semata-mata.

“Sebaliknya kita harus mewujudkan jalinan kerjasama penyelidikan dengan pelbagai agensi untuk menjalankan kajian yang akan memberi faedah bersama, dengan sumber yang ada ini,” tegasnya.

Katanya lagi, permintaan terhadap produk berasaskan bahan semulajadi akan terus meningkat kerana banyak manfaat yang bakal diperolehi daripadanya.

“Oleh itu program penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu dipertingkat dan khazanah biodiversiti di negeri ini perlu diterokai lebih mendalam untuk mengenal pasti potensinya.

“Para penyelidik perlu mencari nilai tambah sumber biodiversiti tersebut selain meningkatkan kapasiti penyelidikan bagi mengumpul sebanyak mungkin data.

SBC menurutnya, boleh memikul peranan ini sesuai dengan fungsinya sebagai sebuah pusat penyelidikan.

Ditubuhkan sejak 1997, pusat yang terletak di Semenggok ini telah mengkaji lebih 23 ribu spesies tumbuhan hutan hujan tropika di negeri ini. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru