Pemuda UMNO berhimpun sebagai protes di depan Ibu Pejabat DAP

0
3

KUALA LUMPUR: Berang dengan kenyataan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang disifatkan tidak bertanggungjawab dan menghina Islam, sekitar  150 ahli UMNO dan penyokongnya diketuai Exco Pemuda UMNO Ibdillah Ishak, berhimpun di hadapan Ibu Pejabat DAP di Jalan Yew,  Kuala Lumpur, petang semalam.

Mereka berkumpul untuk menyerahkan memorandum sebagai tanda protes terhadap Ahli Parlimen Taiping itu.

Bagi memastikan tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini dan mengawal keadaan, anggota polis membuat sekatan di hadapan ibu pejabat berkenaan.

Kekecohan tercetus apabila tolak-menolak  antara peserta himpunan dengan anggota polis berlaku, dengan anggota polis cuba mengekang peserta daripada terus mengasak.

Kumpulan berkenaan  membawa pelekat dengan tulisan  ‘Respek Islam’ dan ‘DAP Rasis’ sambil berteriak.

umm

Kor Ming dikritik ekoran tindakan beliau memuat naik karikatur menghina Aidilfitri yang memaparkan dua orang kanak-kanak yang meminta derma dari seorang lelaki bagi menggantikan amalan pemberian duit raya dan juga membuat ucapan hari raya dengan berlatar belakangkan rumah api dan bendera Amerika Syarikat.

Kelmarin, Pemuda UMNO Malaysia mengecam kebiadaban Kor Ming yang tidak sensitif dengan agama Islam.

EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kor Ming yang dianggap menghina umat Islam dengan memuat naik ucapan tidak sopan di laman media sosial Facebook dan Twitter miliknya, baru-baru ini.

Katanya, kenyataan Kor Ming  disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab, menolak nilai-nilai tatasusila, dan terang-terangan mempersendakan amalan pemberian duit raya kepada kanak-kanak sebagai dedak dan rasuah.

Dia juga memberi ucapan Selamat Hari Raya dengan berlatar belakangkan bendera Amerika Syarikat dan berimej tangan berdoa.

Pada Isnin Pemuda menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Eksekutif DAP Perak, Liew Wai San di hadapan pintu utama pejabat berkenaan.

Syamsul yang juga Ketua Pemuda UMNO Ipoh Barat berkata, Kor Ming perlu tampil memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini atas perbuatan itu yang dilihat tidak mempunyai integriti. – Sarawakvoice.com