Wednesday, June 29, 2022

Kajian semula visa: Tidak adil hanya sasarkan pelancong Asia Barat

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kerajaan menolak cadangan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung kajian semula pemberian visa kepada pelancong dari negara Asia Barat kerana disifatkan tidak adil, selain langkah penguatkuasaan lain dapat dipertimbangkan terhadap mereka yang memasuki negara ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pendirian itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pagi ini.

Mohamed Nazri berkata, meskipun  cadangan itu dikemukakan  untuk membendung penularan ancaman IS di negara ini, namun terdapat  langkah penguatkuasaan lain yang boleh dipertimbangkan.

Beliau berkata, dalam isu ancaman militan Negara Islam (IS), ia sebenarnya melibatkan penguatkuasaan.

“Kita perlu memperketatkan tapisan terhadap mereka yang memasuki negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini,  semalam.

“Tindakan paling penting adalah penguatkuasaan. Ia perlu diperketatkan dan diperluas supaya pelancong rasa lebih selamat. ”

Nazri berkata, negara seperti Perancis dan Thailand  yang  mengalami insiden letupan tidak pernah  berbuat demikian atas faktor keselamatan.

Mengulas lanjut Mohamed Nazri berkata, ancaman IS datang dari pelbagai negara dan bukan Asia Barat semata-mata.

Justeru, katanya, tidak adil cadangan itu hanya kepada mereka dari negara Asia Barat sahaja, apatah lagi ia membabitkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara-negara terbabit.

“Semua ini membabitkan kedudukan hubungan bilateral yang dibimbangi memberi kesan buruk terhadap keharmonian antara Malaysia dengan negara Asia Barat,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru