4 cedera ringan rumah panjang 39 pintu musnah terbakar, Bomba Sibu selamatkan 13 rumah berdekatan

0
8

SIBU: Empat penghuni rumah panjang, masing-masing dua lelaki dan dua perempuan cedera ketika cuba menyelamatkan diri selepas rumah panjang yang didiami mereka terbakar di Tanjung Penasu, dekat sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian sekitar 11.50 pagi itu, tidak banyak pernghuni berada di Rumah Panjang Jalak yang terletak di Jalan Sungai Aup itu kerana kebanyakan penduduk telah kembali bekerja selepas cuti panjang sempena sambutan Aidilfitri.

59c2e1c5-0858-49d8-bacd-1f35168c067aMenurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.57 pagi tadi.

“Dua buah jentera dengan kekuatan 16 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dan Sibu kemudian dikejarkan ke lokasi bersama-sama sebuah lori tangki air dan ambulans EMRS.

“Apabila pasukan kita tiba 14 minit kemudian, kita dapati sebuah rumah panjang jenis kayu 39 pintu telah seratus peratus terbakar.

Katanya, tindakan awal yang diambil oleh pasukan tersebut adalah mengawal api daripada merebak kawasan 13 buah rumah persendirian yang terletak berdekatan.

“Cuaca kering memudahkan api merebak dengan cepat. Oleh itu untuk operasi pemadaman, kita menggunakan dua aliran 700 kaki yang dipecahkan kepada dua nozel selain dua saluar bantu mula, dengan bantuan sumber air daripada pili bomba dan sumber air sungai.

Jelas Farhan, api berjaya dikawal kurang sejam kemudian sebelum anggota yang terlibat meneruskan tugas dengan kerja-kerja penyejukan.

“Mangsa yang melecur ringan telah dirawat oleh pasukan paramedik EMRS sebelum dihantar ke Klinik 1Malaysia berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya lagi, punca kebakaran masih disiasat manakala kerja-kerja pascakebakaran telah mula diaktifkan. – Sarawakvoice.com