Friday, September 30, 2022

Sukar bagi gabungan parti pembangkang saingi BN

Secara Rawak

KUCHING: Sukar bagi pakatan pembangkang baharu untuk menyaingi apatah lagi menumbangkan Barisan Nasional atau Pakatan Harapan.

Untuk blok pembangkang baharu menyaingi parti sedia ada, ia perlu memenuhi beberapa kriteria, menurut penganalisis politik di Sarawak.

Pertama, ia perlu diterajui oleh seorang pemimpin yang benar-benar berwibawa, tetapi berdasarkan kepemimpinan kepembangkangan sedia ada, sukar ditemui tokoh yang memiliki ethos atau wibawa tinggi yang dapat menggerakkan pakatan berkenaan.

Kedua, gabungan berkenaan perlu memiliki agenda dan naratif politik yang hebat bagi memikat imaginasi politik pengundi dan rakyat. Kalau mereka sekadar mengkritik kelemahan BN, sukar untuk pakatan berkenaan pergi lebih jauh.

Ketiga, pakatan itu perlu memiliki sumber yang banyak, termasuk dari segi kewangan, kerana bagi membolehkan mereka membuka cawangan dan bergerak di peringkat akar umbi, terutama di Sarawak, segalanya memerlukan wang.

Keempat, dari segi jentera akar umbi, ia perlu lebih baik daripada jentera BN, tetapi lazimnya, sukar untuk pakatan pembangkang mewujudkan jentera parti yang ampuh.

Kewujudan blok pembangkang baharu berpunca daripada perpecahan dalam Pakatan Harapan, dan parti nyamuk sedia ada pula mencari strategi alternatif dengan bergabung melalui pakatan. Apabila parti yang menganggotai pakatan terlalu banyak, ia juga akan menimbulkan masalah.

Harus diingat jika tiga buah parti dalam gabungan pun sukar, apatah lagi parti-parti seluruh Malaysia.

Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR), Lina Soo dalam sidang media beberapa hari lalu berkata, gabungan parti baharu yang dikenali sebagai Gabungan Rakyat Saksama (Saksama) sedang ditubuhkan kerana Pakatan Rakyat gagal memberi saingan sengit kepada BN.

Jelas beliau, pakatan pembangkang itu telah berpecah-belah dan sudah tidak lagi sehaluan.

“Pada saya, penggabungan parti-parti pembangkang yang baharu dan melibatkan parti-parti pembangkang dari seluruh Malaysia ianya dilihat sebagai langkah terpaksa mereka kerana perpecahan yang wujud sebelum ini telah membuktikan mereka gagal menawan hati rakyat,” katanya.

Saksama ialah gabungan parti politik dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Ia terdiri daripada STAR, Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU), Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan), Parti Rakyat Bersatu Malaysia (MUPP) , Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Alternatif Rakyat dari semenanjung.

“MUPP di bawah presidennya, Philip Among memulakan gabungan baharu ini bulan lalu. Tujuh parti politik bersetuju menjadi sebahagian daripadanya dan kami menjangkakan lebih ramai akan menyertai gabungan ini,” kata Soo dalam sidang media di Sibu.

Kata Lina lagi, permohonan untuk mendaftarkan parti itu telah dibuat dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Penganalisis politik percaya, gabungan berkenaan tidak akan ke mana. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru