Wednesday, June 29, 2022

Masalah brek punca bas meluru langgar 10 kenderaan di Ipoh

Secara Rawak

IPOH: Bukan dipengaruhi dadah, juga bukan mabuk minuman keras, tetapi masalah brek.

Itu menjadi punca pemandu kedua sebuah bas yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur gagal dikawal Ahad lalu hingga melanggar sepuluh buah kenderaan di hadapannya.

bas lost-0001Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dalam insiden yang berlaku pada jam 2.45 petang itu, bas persiaran tersebut hilang kawalan ketika menuruni laluan curam dan selekoh tajam di laluan kilometer 265.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), setelah melepasi Terowong Menora.

“Difahamkan ketika kejadian pemandu kedua itu mencuba pelbagai cara untuk memperlahankan kenderaan termasuk merendahkan gear tetapi gagal, dan langkah terakhir adalah mengurangkan kesan impak pelanggaran,” katanya.

Sementara itu, pemandu utama bas tersebut berkata, keadaan bas adalah baik sebelum mereka memulakan perjalanan.

“Malah pemandu kedua yang mengambil giliran pada jam 12 tengah hari tidak mengantuk kerana telah cukup tidur,” katanya yang menolak kejadian tersebut berpunca daripada kelalaian.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak,  Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, siasatan awal mendapati hasil ujian air kencing pemandu kedua itu negatif dadah.

“Bagaimanapun bas tersebut mempunyai 63 saman tertunggak, manakala pemandu yang berusia 51 tahun tersebut mempunyai sembilan saman, termasuk memandu laju di antara tahun 2011 hingga 2015,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru