LAHAD DATU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun semalam mengesahkan tiga rakyat Indonesia merupakan mangsa terbaharu penculikan oleh lanun laut di perairan Sabah pada malam Ahad lalu.

Dalam kejadian sekitar 11.40 malam itu, ketiga-tiga mangsa yang merupakan pekerja bot menangkap ikan diculik lima lelaki bersenjata api yang menggunakan bot pancung.

culik lahad datgu-0000“Ketika kejadian, bot yang membawa tujuh anak kapal itu sedang berada kira-kira 3.6 batu nautika dari pantai Kampung Sinakut, berhampiran Felda Sahabat 16.

“Bot berkenaan dipintas sebelum penculik yang bersenjatakan raifal dan pelancar grenad melakukan jenayah mereka.

Kata Rashid, kumpulan penculik ini berada di atas bot sekitar 30 minit namun tidak melakukan kekasaran terhadap anak kapal, yang empat daripadanya berasal dari Timur Nusa Tenggara, manakala selebihnya dari Kepulauan Palau, Filipina.

“Difahamkan ketika kejadian, hanya tiga daripada anak kapal ini memiliki pasport, manakala yang lain tidak mempunyai sebarang dokumen.

“Penculik kemudian merampas telefon bimbit dan pasport mereka sebelum melarikan diri ke perairan Filipina.

Mangsa yang diculik kemudian dikenali sebagai Lorens Koten, 34, Teo Dores Kopong, 40, dan Emanuel, 46.

culik lahad datgu-0001Menjelas lanjut, Rashid berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mengesyaki penculikan itu didalangi oleh kumpulan dari selatan Filipina namun pihaknya enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Konsul Indonesia di Tawau, Abdul Fatah Zainal berkata, pihaknya mendapat tahu akan insiden terbaharu itu setelah pemilik kapal yang dikenali sebagai Chia Tong Lim membuat laporan mengenai penculikan ini kepada pihak berkuasa Malaysia sekitar jam 4.17 pagi semalam

Katanya, Lim memberitahu, para penculik mengacukan senjata kepada anak kapal ketika berada di atas kapal tersebut, sebelum mereka melarikan diri.

Bot tersebut kini berlabuh di Pelabuhan Marobong Tungku di Lahad Datu.

Kejadian ini merupakan yang keempat berlaku kepada pelaut Indonesia pada tahun ini.

Pada 20 Jun lalu, kumpulan Abu Sayyaf telah menculik tujuh anak kapal negera itu ketika mereka melalui perairan Sulu. – Sarawakvoice.com