Saturday, May 21, 2022

Sarawak sasar pingat untuk setiap acara SUKMA

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak mensasarkan podium dan pingat untuk setiap 26 jenis sukan yang disertai mereka pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 yang akan membuka tirai pada 22 Julai ini.

782be487-af49-433d-9473-8db570481512Chef-de-Missionnya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dengan slogan “Agik Idup Agik Ngelaban”, beliau yakin sasaran itu akan dapat dicapai, apatah lagi dengan komitmen dan semangat tinggi yang ditunjukkan oleh setiap atlet yang membawa bendera negeri ini, ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri kelak.

“Malah kita berazam untuk merampas kembali piala juara keseluruhan, yang kali terakhir digenggam pada tahun 1994,” katanya ketika ditemui di kediamannya sempena rumah terbuka Aidilfitri hari ini.

Menjelas lanjut, Karim berkata, komitmen semua pihak, termasuk kerajaan negeri, persatuan sukan dan atlet sendiri dalam usaha memburu pingat emas menambah keyakinan bahawa SUKMA kali ini akan membantu melonjakkan prestasi sukan di Sarawak.

“Kita telah membuat persediaan dengan cukup rapi. Baik dari segi gelanggang, mahupun dari sudut pengurusan, kejurulatihan dan pemilihan atlet… telah dilakukan dengan begitu teliti.

“Bahkan menjelang temasya tersebut, kebanyakan atlet ini telah dibawa untuk mengikuti pertandingan dan perlawanan pendedahan baik di dalam mahupun di luar negara, bagi mempertajamkan persediaan mereka, ” katanya.

Kalau sebelum ini, dalam beberapa jenis sukan, banyak pihak yang skeptikal dengan kemampuan skuad muda kita, terutama apabila gagal menyinar dalam pertandingan semasa.

“Sukan bolasepak adalah salah satu daripadanya. Tetapi kemampuan kita akan meningkat berkali-kali ganda kerana aura bermain di tempat sendiri.

“Berbekalkan semangat dan sokongan semua pihak, tidak mustahil kita akan berjaya mengutip emas,” katanya optimis.

Dalam perlawanan akhir SUKMA 1990 di Stadium Negeri, Sarawak berjaya memperoleh “ibu” segala pingat emas, ketika tidak ramai yang memberi harapan kepada anak-anak buah jurulatih Poasa Sahar ketika itu.

Lebih menarik, penjaring gol kemenangan dalam perlawanan akhir tersebut, Ibrahim Mantali kini berada dalam senarai kejurulatihan skuad bolasepak Sarawak pada SUKMA kali ini.

Selain itu kata Karim, prospek emas Sarawak yang lain termasuklah dalam sukan tenis, pentaque, taekwando, olahraga , squasy dan tenpin boling.

“Secara jujur, dalam semua jenis sukan yang kita sertai , kita mempunyai peluang untuk membawa pulang pingat emas,” katanya.

Ditanya tentang pencabar, Karim mengakui bahawa negeri Terengganu akan memberi cabaran sengit kepada negeri itu, berikutan peningkatan mendadak mutu sukan di negeri ini selepas menjadi tuan rumah SUKMA 2008.

“Selain Terengganu, negeri lain yang tidak kurang hebat ialah Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Ketiga-tiga negeri ini telah memberi penekanan yang hebat terhadap bidang sukan dan menjadi medan kelahiran banyak jaguh sukan di peringkat kebangsaan.

“Negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang dan Pahang juga kuat namun mereka memfokus untuk menguasai sukan-sukan tertentu,” katanya.

Sarawak mensasarkan sekurang-kurangnya 72 emas pada temasya SUKMA kali ini bagi membolehkannya muncul sebagai juara keseluruhan untuk kali keempat.

“Kita telah membuat pelaburan yang besar. RM400 juta dari segi infrastruktur, juga membawa masuk jurulatih-jurulatih bertaraf dunia.

“Kerana itulah kita mensasarkan kejayaan besar pada kali ini, yang sekali gus akan mengembalikan negeri ini sebagai salah sebuah kuasa sukan di Malaysia, dan insya-Allah sebagai batu loncatan melahirkan atlet di peringkat dunia,” katanya lagi. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru