Pemimpin PKR miliki 9 kereta: Bukan konspirasi BN, kata Noh Omar

0
3

TANJONG KARANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor menyelar sikap pemimpin Pakatan Rakyat yang asyik menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) setiap kali pemimpinnya terjebak dalam kontroversi atau masalah.

Tan Sri Noh Omar yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan hairan bagaimana Pakatan Harapan meletakkan kesalahan berkenaan pada bahu UMNO dan BN sedangkan masalah berkenaan adalah bikinannya sendiri.

Dalam kes terbaharu membabitkan Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Zuraida Kamaruddin, parti terbabit menyalahkan UMNO dan BN kononnya ia menjadi mangsa penganiyaan.

Zuraidah didakwa memiliki sembilan kenderaan atas namanya sendiri.

Kontroversi membabitkan Ahli Parlimen Ampang itu didedahkan oleh mantan Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard.

“”Mengapa BN dan UMNO pula yang dituduh aniaya mereka? Sikap suka salahkan orang lain buktikan Pakatan Harapan kehabisan modal,” kata Noh kepada media pada Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Tanjong Karang, di sini, semalam.

Justeru, beliau berkata, adalah tidak wajar BN disalahkan oleh pemimpin pembangkang setiap kali pemimpinnya berdepan masalah dan isu.

Bagi beliau, hal itu membuktikan bahawa Pakatan Harapan telah kehabisan modal, sehingga perlu meletakkan setiap kesalahan kepada orang lain.

“Apabila pemimpin mereka dilanda kontroversi, BN dan UMNO pula disalahkan,” katanya.

Bagi beliau, Pakatan Harapan tidak seharusnya mengaitkan sebarang isu salah laku membabitkan pemimpinnya sebagai konspirasi yang direncanakan oleh BN. – Sarawakvoice.com