Tuesday, December 6, 2022

Jangan samakan Sarawak dengan negeri-negeri lain, Abang Johari

Secara Rawak

SIBU:  Jangan samakan kedudukan Sarawak dengan negeri-negeri lain.

Sarawak tidak sama dengan  mana-mana negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu ketika Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 kerana ia rakan kongsi dengan tiga kerajaan berdaulat lain.

“Terdapat empat kerajaan berdaulat membentuk Malaysia iaitu Persekutuan Tanah Melayu, kerajaan Singapura, kerajaan Borneo Utara dan Sarawak,” kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari  berkata demikian kepada media selepas mewakili Ketua Menteri  Tan Sri Adenan Satem merasmikan Rumah Terbuka Aidilfitri 2016 PBB Nangka di Dewan MUC di sini, semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian, yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata dalam satu majlis pelancaran buku di Kuching pada Sabtu, bahawa Sarawak merupakan  satu daripada  empat wilayah ketika Malaysia ditubuhkan.

Pada 1963, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura telah bersetuju membentuk Malaysia, namun Singapura telah dipecat daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian yang menggesa perkataan negeri tidak digunakan apabila berurusan kerajaan persekutuan bagi  menunjukkan kesungguhan Sarawak memperjuangkan autonomi.

Malah, Dr Sim turut mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri Sarawak hanya menggunakan Dewan Undangan Sarawak, manakala Kerajaan Negeri Sarawak, hanya dirujuk sebagai Kerajaan Sarawak.

Abang Johari berkata, ini adalah pendirian kerajaan negeri ketika melakukan rundingan penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan.

Beliau berkata,  asas perundingan  penurunan kuasa ialah perkara yang dipersetujui pada tahun 1963. – Sarawakvoice.com

BACA JUGA: Tiada Sarawak, tiadalah duit untuk negara, kata Tengku Mahkota Johor

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru