Saturday, October 8, 2022

Jangan hina saya, kata Shafie Apdal

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, janganlah beliau dikutuk dengan mengatakan tidak ada kesan terhadap UMNO, kerana hakikatnya ada  lagi cabaran untuk UMNO pada tahun-tahun mendatang.

Shafie telah mengambil keputusan keluar daripada UMNO pada 4 Julai lalu kerana kecewa dengan tindakan UMNO menggantung keanggotaan beliau.

Pada 24 Jun lalu, Majlis Tertinggi UMNO memutuskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir‎ dipecat, manakala Shafie digantung daripada jawatannya.

Beberapa orang pemimpin UMNO ketika memberi komen tentang tindakan Ahli Parlimen Semporna itu berkata bahawa tindakan Shafie keluar UMNO tidak akan memberi sebarang kesan terhadap sokongan rakyat baik di kawasan terbabit mahupun di kawasan-kawasan lain di Sabah.

“Ada yang beri respons bila saya keluar daripada Umno tiada kesan walau sedikit pun kepada kawasan Semporna dan kawasan-kawasan lain di negeri Sabah,” demikian tulis Shafie berhubung pengundurannya daripada UMNO dalam Facebooknya.

“Janganlah hina saya sampai macam tu sekali. Pilihan Raya Umum (PRU) 14 pun sudah tidak lama lagi,” katanya.

Berdasarkan kenyataan itu, pemerhati politik berkata, beliau seolah-olah mahu menyatakan, tunggu PRU14 untuk membuktikan sama ada benar beliau tidak mempunyai pengaruh.

Maksudnya, beliau akan bertanding untuk menentang BN.

Shafie berkata, meskipun  telah keluar  UMNO, beliau akan tetap meneruskan perjuangan di Sabah demi rakyat yang telah memilihnya sebagai wakil rakyat.

Ke mana arah haluan yang bakal diambil oleh Shafie seterusnya, belium dapat dipastikan, sama ada menyertai parti pembangkang atau terus kekal sebagai wakil rakyat Bebas. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru